CALIFORNIA: Alef Aeronautics yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) mengumumkan pelanggan pertama bakal menerima kereta terbang keluarannya tidak lama lagi, selepas lebih sedekad pembangunan.
Alef Model A Ultralight menggunakan lapan kipas tersembunyi di bahagian but dan bonet, membolehkan kenderaan futuristik itu berlepas pada bila-bila masa dengan kelajuan 177 kilometer sejam (km/j).
Kenderaan bernilai 235,000 pound (RM1.2 juta) itu juga boleh mendarat dan dipandu seperti kereta biasa.
Kereta tersebut akan dipasang secara manual di kemudahan syarikat di Silicon Valley, California.
Bagaimanapun, Alef Aeronautics berkata, setiap kereta akan mengambil masa ‘beberapa bulan’ untuk kerja-kerja pembuatan sebelum dihantar kepada pelanggan.
Kereta buatan tangan pertama hanya akan dihantar kepada beberapa pelanggan untuk menguji kenderaan eksperimen itu dalam keadaan sebenar.
Syarikat itu menegaskan, pengeluaran secara perlahan membolehkan pihaknya mengenal pasti dan menyelesaikan sebarang masalah sebelum kereta terbang itu memasuki pengeluaran besar-besaran.
Ketua Pegawai Eksekutif Alef Aeronautics, Jim Dukhovny berkata, syarikat itu gembira mengumumkan pengeluaran kereta terbang pertama bermula mengikut jadual.
“Kami berpuas hati kerana pengeluaran kereta terbang pertama bermula tepat pada masanya. Pasukan kami bekerja keras untuk menepati garis masa kerana tahu ramai yang menantikan kenderaan ini,” katanya.
Berbeza dengan teksi terbang yang bergantung kepada lapangan terbang atau ventiport, Alef Aeronautics berkata, Model A adalah kereta terbang sebenar pertama yang boleh dipandu di jalan raya dan udara.
Model A merupakan kenderaan yang sah di jalan raya dan pesawat mampu berlepas tanpa sayap melalui teknologi pelepasan dan pendaratan menegak elektrik (eVTOL).- AGENSI










