PHNOM PENH: Pegawai Kemboja menuduh Thailand memusnahkan patung Hindu di kawasan sempadan yang dipertikaikan, susulan lebih dua minggu pertempuran antara kedua-dua negara jiran itu.
Jurucakap kerajaan di wilayah sempadan Preah Vihear, Kim Chanpanha berkata, patung itu berada dalam wilayah Kemboja di kawasan An Ses.
Katanya, pemusnahan patung Vishnu, yang dibina pada 2014, berlaku pada 22 Disember lalu, kira-kira 100 meter dari sempadan Thailand.
Carian melalui Google Maps menunjukkan lokasi patung itu berada kira-kira 400 meter dari garisan sempadan.
“Kami mengecam pemusnahan kuil dan patung purba yang menjadi tempat ibadat penganut Buddha dan Hindu,” katanya.
Konflik sempadan yang berlarutan antara kedua-dua negara itu kembali memuncak pada Disember, mengorbankan lebih 40 nyawa dan menyebabkan kira-kira sejuta penduduk kehilangan tempat tinggal, menurut angka rasmi.
Kedua-dua pihak saling menyalahkan antara satu sama lain kerana mencetuskan pertempuran baharu itu, selain bertukar-tukar tuduhan melakukan serangan terhadap orang awam.
Kemboja juga berulang kali mendakwa tentera Thailand merosakkan runtuhan kuil di sepanjang sempadan semasa pertempuran, manakala Bangkok menegaskan Phnom Penh menempatkan anggota tenteranya di sekitar struktur batu berusia ratusan tahun itu.
Video yang menunjukkan pemusnahan patung Vishnu menggunakan jentera pengorek jenis backhoe loader tersebar di media sosial Thailand dan media tempatan pada 22 Disember.
AFP menganalisis rakaman video itu menggunakan alat pengesanan kecerdasan buatan (AI) dan mendapati tiada tanda manipulasi AI.
Satu hantaran yang memaparkan klip video berkenaan, dimuat naik oleh akaun X pro-India, meraih lebih dua juta tontonan setakat 24 Disember.
Seorang wakil media di Kedutaan India di Bangkok memberitahu AFP, New Delhi belum mengeluarkan sebarang respons berhubung insiden itu.










