Kemboja ajak Thailand berunding di Kuala Lumpur

Kemboja ajak Thailand berunding di Kuala Lumpur

SEORANG penduduk di Wilayah Sa Kaeo, Thailand menunjukkan keadaan sebahagian rumahnya yang musnah dipercayai terkena bedilan tentera Kemboja susulan pergolakan di sempadan Thailand-Kemboja, semalam. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PHNOM PENH: Kemboja meminta Thailand mengadakan rundingan dua hala di Kuala Lumpur untuk merundingkan syarat gencatan senjata selepas dua minggu pertempuran maut di sempadan, menurut surat yang dilihat AFP pada Selasa.

Ketua pertahanan Bangkok berusaha meredakan kebimbangan pihak Kemboja mengenia pertemuan yang berlangsung di Thailand, sementara Kementerian Luar Thailand memaklumkan lokasi akhir masih dalam perbincangan.

Konflik sempadan antara kedua-dua negara kembali meletus bulan ini, menghancurkan gencatan senjata sebelumnya, dengan lebih 40 orang terbunuh dan lebih 900,000 terpaksa dipindahkan.

Menteri Luar Thailand, Sihasak Phuangketkeow, mengumumkan perbincangan dengan Kemboja selepas pertemuan di Kuala Lumpur dengan rakan sejawatannya dari ASEAN.

Rundingan dijadualkan berlangsung pada Rabu di Chanthaburi, Thailand, di bawah rangka kerja jawatankuasa sempadan dua hala sedia ada.

Namun, dalam surat bertarikh Isnin kepada rakan sejawatnya dari Thailand, Nattaphon Narkphanit, Menteri Pertahanan Kemboja, Tea Seiha, meminta agar pertemuan itu diadakan di Kuala Lumpur.

“Demi keselamatan berikutan pertempuran yang sedang berlaku di sempadan, pertemuan ini harus diadakan di lokasi yang selamat dan neutral,” tulis Tea Seiha dalam surat itu, yang diperoleh AFP pada Selasa dan disahkan oleh kementerian.

Beliau menambah, Malaysia, sebagai pengerusi blok serantau ASEAN, bersetuju untuk menjadi tuan rumah rundingan tersebut di ibu negaranya.

Jurucakap kementerian luar Thailand, Nikorndej Balankura, memberitahu wartawan di Bangkok, lokasi pertemuan itu ‘sedang dibincangkan’.

“Rundingan akan berlangsung selama dua hari, bermula dengan kumpulan teknikal terlebih dahulu,” katanya pada Selasa.

Narkphanit mencadangkan pertemuan itu dijadualkan berlangsung pada Rabu di Thailand, namun turut berusaha meredakan kebimbangan rakan sejawatnya dari Kemboja.

“Pertemuan akan diadakan di Chanthaburi… di mana hampir tiada pertempuran berlaku. Ia selamat,” kata Nattaphon kepada wartawan sebelum mesyuarat Kabinet.

Beliau berkata, mesyuarat terakhir Jawatankuasa Sempadan Bersama diadakan di wilayah Koh Kong, Kemboja, jadi kini giliran Thailand menjadi tuan rumah, sambil menegaskan tiada yang perlu ditakuti kerana pihak Thailand mampu memisahkan urusan ketenteraan dan diplomatik.

“Saya ingin memberitahu Kemboja supaya mempercayai kami dalam aspek keselamatan,” kata Nattaphon, sambil menambah pertemuan itu akan diadakan berhampiran sempadan dengan Kemboja.

Namun, menteri pertahanan itu juga berkata pasukan Thailand akan terus berperang selagi Kemboja turut berbuat demikian, dan pertempuran yang melibatkan hampir keseluruhan sempadan setakat ini hanya reda di beberapa bahagian daripada dua wilayah.

Kemboja pula mendakwa Thailand melancarkan serangan udara ke atas wilayahnya pada Isnin, sejurus selepas Bangkok mengumumkan bahawa kedua-dua negara bersetuju untuk mengadakan rundingan dua hala.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN