PETALING JAYA: Aidilfitri yang disambut umat Islam di seluruh dunia bermula hari ini diraikan dalam suasaran suram ekoran huru-hara akibat perang yang dicetuskan oleh Amerika Syarikat (AS) dan Israel.
Keangkuhan AS bersama sekutu Zionisnya menyerang Iran di bulan Ramadan pada 28 Februari lalu mencetuskan sengketa yang sudah memasuki minggu ketiga dengan hampir saban hari rantau Arab terutama negara-negara Teluk dihujani peluru berpandu dan serangan dron.
Ini termasuk menjelang sambutan Aidilfitri yang mula disambut di sebahagian besar negara-negara Arab, Afrika dan Eropah hari ini.
Bagi rantau Asia Tenggara termasuk Malaysia sambutan Aidilfitri turut terjejas ekoran krisis bakalan bahan api kesan daripada perang di Asia Barat tu.
Walaupun harga RON95 kekal pada RM1.99, tetapi harga bahan bakar lain menyaksikan peningkatan yang memberi kesan langsung dan tidak langsung kepada persiapan Aidilfitri.
Tindakan mencatu bekalan bahan api terutama petrol oleh negara-negara jiran turut memberi kesan kepada negara ini kerana ia membataskan pergerakan rentas sempadan sepanjang sambutan Aidilfitri.
Ia yang sepantutnya disambut dengan penuh gembira di seluruh dunia kini bertukar menjadi duka ekoran ketidaktentuan akibat dentuman roket dan dron yang boleh dikatakan saban hari mewarnai langit di Asia Barat.
Tindakan AS-Israel mengebom loji minyak Iran, dan tidak balas Teheran menyerang lokasi-lokasi minyak strategik di negara Teluk termasuk menutup Selat Hormuz menjerumuskan dunia ke dalam krisis tenaga yang paling besar untuk abad ini.
Selepas tiga minggu konflik, penganalisis memberi amaran perang ini boleh mendorong lonjakan harga minyak melebihi AS$100 (RM393) setong.
Malah pemerhati pasaran tidak menolak kemungkinan harga boleh mencecah AS$150 (RMRM591) bahkan sehingga AS$200 (RM788) sekiranya ketegangan terus memuncak.
Serangan Israel ke atas medan gas South Pars di Iran pada 18 Mac yang mencetuskan serangan balas Iran terhadap kemudahan minyak dan gas di Qatar, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) telah melonjakkan harga minyak kepada lebih AS$108 (RM425) setong, kelmarin.
Dalam masa sama, krisis kemanusiaan yang masih belum menemui noktah di Gaza terus memburukkan keadaan, menjadikan Aidilfitri kali ini jauh daripada kegembiraan khususnya dalam kalangan negara-negara Islam yang terkesan.
Di Qatar, Kuwait, Bahrain dan Oman, sambutan Aidilfitri berlangsung dalam suasana berjaga-jaga apabila tahap keselamatan dipertingkatkan secara menyeluruh.
Pihak berkuasa negara anggota Majlis Kerjasama Teluk (GCC) meningkatkan kawalan di lokasi tumpuan awam dan hab pengangkutan utama, menyebabkan penduduk berdepan gangguan perjalanan serta pemeriksaan keselamatan yang lebih ketat sepanjang tempoh perayaan.
Di Lubnan, Aidilfitri disambut dalam suasana serba kekurangan apabila ramai penduduk terpaksa ‘meraikannya’ di pusat perlindungan sementara akibat serangan Israel.
Di Arab Saudi, umat Islam masih dibenarkan meneruskan rutin ibadah seperti biasa, tetapi dalam keadaan penuh kewaspadaan apabila pihak berkuasa memperketat kawalan keselamatan susulan ancaman peluru berpandu dan serangan dron.
Pihak berkuasa agama di UAE mengumumkan solat sunat Aidilfitri hanya akan dilaksanakan dalam masjid manakala solat di kawasan terbuka seperti kebiasaan tidak dibenarkan tahun ini.
Pensyarah Kolej Undang-undang Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof . Madya Dr. Mohamed Faisol berkata, konflik yang berlarutan bukan sahaja memberi tekanan kepada kestabilan serantau malah berpotensi mencetuskan ketidaktentuan ekonomi global dalam tempoh lebih panjang.
“Sekiranya konflik terus berpanjangan tanpa penyelesaian yang jelas, impaknya bukan sahaja dirasai di Asia Barat, malah akan merebak ke ekonomi serantau dan global.
“Maka tidak hairanlah negara- negara ini mengambil langkah berjimat cermat,” katanya.
Katanya, banyak negara kini melaksanakan langkah mitigasi serta perancangan dasar yang lebih strategik bagi memastikan ekonomi negara kekal berdaya tahan dalam menghadapi ketidaktentuan semasa.
Sementara itu, Pakar Geostrategis, Dr Azmi Hassan berkata, sikap angkuh Israel dan AS dengan menyerang Iran dijangka akan diteruskan walaupun ketika sambutan perayaan Aidilfitri nanti.-UTUSAN.










