KUANTAN: UMNO Pahang menegaskan bahawa dalam menjalin persahabatan, adab dan keikhlasan perlu menjadi asas, bukannya ejekan kosong yang merendahkan martabat.
Penegasan itu dibuat Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail susulan kenyataan Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, Yeo Bee Yin, berhubung keputusan mahkamah melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri berkata, tindakan sedemikian akhirnya menyebabkan diri yang begitu angkuh tenggelam dalam kesombongannya sendiri.
“UMNO Pahang akan terus berdiri teguh, tidak goyah dan tidak sesekali berundur dalam memberikan sokongan serta meneruskan usaha mencari keadilan buat Datuk Seri Najib Razak,” katanya dalam kenyataan di sini.
Mengulas lanjut, Wan Rosdy berkata, UMNO Pahang mengecam sekeras-kerasnya kenyataan biadab Bee Yin yang secara terbuka meraikan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berkaitan isu Titah Adendum.
Menurutnya, tindakan itu bukan sahaja tidak wajar, malah mencerminkan keangkuhan politik serta ketandusan adab dan sensitiviti yang menyentuh perasaan banyak pihak terutamanya ahli keluarga Najib serta ahli-ahli UMNO khususnya.
Bee Yin yang juga Ahli Parlimen Puchong memuat naik hantaran ‘satu lagi sebab untuk meraikan hujung tahun ini’ berserta berita tentang Najib.
Mahkamah Tinggi, Kuala Lumpur hari ini memutuskan Titah Adendum bertarikh 29 Januari 2024 yang membenarkan Najib menjalani baki hukuman penjara secara tahanan di rumah adalah tidak sah.
Hakim Alice Loke Yee Ching memutuskan Yang di-Pertuan Agong tidak boleh membuat keputusan pengampunan secara bersendirian dan pelaksanaan prerogatif pengampunan mesti dibuat melalui Mesyuarat Lembaga Pengampunan selaras Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.
Mahkamah turut memutuskan Titah Adendum itu tidak pernah dibincangkan atau diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah-wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya Kali Ke-61.
Susulan keputusan itu, Najib akan terus menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang sehingga tamat tempoh hukumannya. – UTUSAN










