Jangan politikan isu kelewatan bantuan banjir - Sultan Pahang - Utusan Malaysia

Jangan politikan isu kelewatan bantuan banjir – Sultan Pahang

AL-SULTAN Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (tengah) menyantuni mangsa banjir di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Bunut Redang di Kuantan, Pahang. - FOTO/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Kelewatan bantuan makanan kepada mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) tidak wajar dijadikan isu politik, kerana keadaan berlaku secara mendadak dan menyukarkan penyelarasan awal.

Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah, perkara itu bukan disengajakan dan semua pihak sudah berusaha sedaya upaya untuk membantu mangsa.

“Cuma hari pertama ada kelewatan, bukanlah disengajakan dan saya harap kita jangan politikkan kelewatan pada hari itu (hari pertama di PPS) kerana terdapat banyak masalah tersendiri.

“Mereka ini (petugas) terkejut apabila banjir berlaku dengan sekelip mata dan alhamdulillah saya harap ini tidak akan berlaku di masa-masa akan datang,” titah baginda ketika menyantuni mangsa banjir di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Bunut Redang di sini hari ini.

Al-Sultan Abdullah memaklumkan, baginda turut  melakukan tinjauan udara bersama Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail di beberapa kawasan terjejas di sepanjang Sungai Pahang.

Baginda bertitah, kebanyakan kawasan yang dilanda banjir sudah pulih sepenuhnya, namun masih terdapat beberapa jalan terputus iaitu di Pulau Manis dan Bukit Kenau, Sungai Lembing.

“Ahamdulillah, kita terus berdoa dan rakyat Pahang kena terus berdoa ke hadrat Allah SWT supaya kita memohon cuaca bertambah baik dan bencana banjir ini dapat diatasi dengan sebaik mungkin,” titah baginda.

Dalam pada itu, Al-Sultan Abdullah mengingatkan semua pihak agar bersedia menghadapi kemungkinan gelombang banjir seterusnya yang dijangka berlaku minggu depan.

Baginda turut menasihatkan mangsa agar tidak tergesa-gesa meninggalkan PPS.

“Saya menyeru rakyat agar terus bersabar, memperkukuh doa dan kebergantungan kepada Allah SWT dalam menghadapi dugaan ini.

“Kesabaran adalah sebahagian daripada iman, dan doa kita adalah sebahagian daripada ibadah kita,” titah baginda. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN