JAKARTA: Indonesia menolak tawaran bantuan asing buat masa ini kerana yakin mampu menangani sendiri kesan banjir dahsyat dan tanah runtuh di Sumatera.
Ramai pemimpin dunia, termasuk Presiden Russia, Vladimir Putin, menyampaikan ucapan takziah atas bencana yang meragut ratusan nyawa itu.
Menteri Luar, Sugiono berkata, beberapa negara bersedia memberikan bantuan, tetapi Jakarta memutuskan untuk menolak tawaran tersebut.
Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan nama negara yang menawarkan bantuan.
“Kami menghargai keprihatinan mereka, namun kami percaya mampu menguruskan banjir itu sendiri. Mereka memberitahu kami untuk menghubungi mereka jika diperlukan,” katanya kepada media di Jakarta, kelmarin.
Sugiono berkata, Indonesia hanya akan membenarkan bantuan asing selepas negara merasakan keperluannya.
“Semua pihak termasuk agensi kerajaan sedang bekerjasama. Usaha ini menunjukkan kami mampu menguruskan keadaan ini sendiri,” katanya.
Walaupun menolak tawaran tersebut, bantuan perubatan bersaiz dua tan daripada negara jiran, Malaysia, tiba di Aceh pada 29 November lalu.
Kerjasama antara Gomez Medical Services dan Blue Sky Rescue Malaysia itu merupakan bantuan perubatan antarabangsa pertama yang sampai ke Aceh selepas bencana yang berpunca daripada taufan.
Pihak berkuasa bencana tempatan melaporkan jumlah kematian mencecah sekurang-kurangnya 867 orang di Sumatera Utara, Sumatera Barat dan Aceh, dengan 521 lagi masih hilang.
Bencana tersebut antara yang paling maut di Sumatera, sehingga mencederakan lebih 4,000 orang dan merosakkan atau memusnahkan 121,000 rumah.
Indonesia masih belum mengisytiharkan banjir dahsyat itu sebagai darurat kebangsaan, status yang boleh mempercepatkan proses penyelarasan.- AGENSI










