IndiGo cetus huru-hara, batal lebih 1,200 penerbangan

IndiGo cetus huru-hara, batal lebih 1,200 penerbangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW DELHI: Kekacauan melanda lapangan terbang di India pada Khamis selepas syarikat penerbangan terbesar negara, IndiGo, membatalkan lebih 1,200 penerbangan, menyebabkan ribuan penumpang terkandas.

Syarikat itu menyalahkan gangguan itu kepada ‘cabaran operasi yang tidak dijangka’, termasuk gangguan teknikal, cuaca buruk dan peraturan baharu untuk pekerja.

Pemantau penerbangan India mengarahkan siasatan dan menuntut IndiGo memberikan rancanga untuk mengurangkan gangguan yang berterusan sejak 1 Disember.

Penumpang meluahkan kemarahan mereka di dalam talian, dengan seorang pengguna lapangan terbang di platform media sosial X menggambarkan keadaan sebagai “’kekacauan teruk’ dengan kelewatan sehingga lapan jam dan tiada kakitangan tampil membantu.

Setakat 3 Disember, sebanyak 1,232 penerbangan IndiGo dibatalkan, menurut syarikat itu. Bilangan penerbangan yang mengalami kelewatan tidak dinyatakan.

IndiGo memaklumkan mereka sedang menawarkan penumpang pengaturan perjalanan alternatif dan bayaran balik sambil memulihkan perkhidmatan mereka.

Syarikat itu mengakui operasi mereka ‘teruk terganggu’, sebahagiannya disebabkan oleh peraturan baharu penyusunan jadual kru yang memberi kesan negatif.

Peraturan tersebut berkuat kuasa pada November dan bertujuan memberikan tempoh rehat lebih bagi juruterbang dan kru untuk meningkatkan keselamatan penumpang.

Gangguan itu merupakan satu lagi tamparan kepada syarikat penerbangan bajet itu, yang membina reputasinya berdasarkan ketepatan masa.

Minggu lalu, 200 pesawatnya terjejas apabila Airbus mengeluarkan amaran untuk menaik taraf segera 6,000 pesawat di seluruh dunia.

India merupakan antara pasaran penerbangan paling pesat berkembang di dunia, mencatat 500,000 penumpang harian pada November buat kali pertama. – AFP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN