NEW DELHI: India mengarahkan semua pengeluar telefon pintar untuk memasang terlebih dahulu aplikasi keselamatan siber dikendalikan kerajaan yang tidak boleh dialih keluar, langkah mencetuskan kebimbangan mengenai privasi pengguna.
Negara itu mempunyai 1.16 bilion pengguna telefom bimbit, menurut data kerajaan 2024, dan pihak berkuasa berkata, aplikasi berkenaan akan meningkatkan perlindungan daripada penipuan dalam talian.
Dalam arahan terbaharu pada Isnin, New Delhi memberi tempoh 90 hari kepada pengeluar untuk mematuhi peraturan baharu yang mewajibkan aplikasi ‘Sanchar Saathi’, dipasang siap pada semua peranti yang dibuat atau diimport untuk pasaran India.
Menurut kenyataan itu, pengeluar juga perlu memastikan aplikasi tersebut ‘mudah dilihat dan diakses pengguna semasa penggunaan pertama atau ketika tetapan awal peranti, serta fungsinya tidak boleh dilumpuhkan atau dihadkan.
Kerajaan berkata, aplikasi itu direka untuk membolehkan pengguna menyekat dan menjejaki telefon yang hilang atau dicuri.
Ia juga membolehkan pengguna mengenal pasti serta memutuskan langganan telefon bimbit palsu yang didaftarkan atas nama mereka, termasuk beberapa fungsi lain.
Angka rasmi menunjukkan aplikasi itu membantu mengesan lebih 2.6 juta telefon setakat ini.
Namun, aktivis hak digital dan ahli politik memberi amaran mengenai kemungkinan implikasi serius.
Kumpulan advokasi Yayasan Kebebasan Internet (IFF) pada Selasa menyatakan kebimbangan terhadap arahan baharu itu.
Perintah tersebut merupakan satu perluasan kawalan eksekutif terhadap peranti digital peribadi yang sangat ketara dan membimbangkan, katanya dalam satu kenyataan di platform X.
“Negara ini meminta setiap pengguna telefon pintar di India untuk menerima keupayaan pengawasan terbuka dan dikemas kini pada peranti peribadi utama mereka, dan berbuat demikian tanpa perlindungan asas yang sepatutnya dituntut oleh sebuah demokrasi berperlembagaan,” kata IFF.
Bagi peranti yang sudah berada di pasaran, kerajaan turut mengarahkan supaya pengeluar dan pengimport telefon pintar berusaha menolak aplikasi tersebut melalui kemas kini perisian.
Penganalisis keselamatan siber, Nikhil Pahwa, berkata peraturan itu jelas merupakan pencerobohan terhadap privasi.
“Bagaimana kita tahu aplikasi ini tidak digunakan untuk mengakses fail atau mesej pada peranti kita, yang tidak disulitkan sepenuhnya? Atau kemas kini pada masa depan tidak akan membolehkannya berbuat demikian?
“Ini jelas satu pencerobohan privasi,” katanya di platform X.- AFP










