HO CHI MINH: Bilangan kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) di Bandar Raya Ho Chi Minh dilaporkan meningkat, dengan ramai pesakit mengalami komplikasi teruk.
Menurut Pusat Kawalan Penyakit Ho Chi Minh (HCDC), sehingga 30 November lalu, kes HFMD meningkat 68.6 peratus berbanding tempoh sama pada 2024.
Dalam tempoh seminggu dari 1 hingga 7 Disember, bandar itu merekodkan 1,225 kes.
Kawasan Zon Khas Con Dao, Nha Be dan Binh Tan mencatat bilangan kes jangkitan tertinggi bagi setiap 100,000 penduduk.
Timbalan Pengarah HCDC, Le Hong Nga berkata, subjenis Enterovirus 71 (EV71) merupakan punca utama peningkatan kes HFMD yang teruk.
“HFMD yang disebabkan oleh EV71 boleh menjadi lebih serius dengan komplikasi berbahaya yang memerlukan rawatan hospital segera,” katanya.
Pada November, Hospital Kanak-Kanak 1 menguji 18 kes HFMD teruk dan mendapati 10 daripadanya positif bagi EV71.
Bahagian Penyakit Berjangkit dan Neurologi di Hospital Kanak-Kanak 1 kini sesak dengan pesakit yang menghidap HFMD untuk pemeriksaan dan rawatan.
Ketua jabatan berkenaan, Dr Du Tuan Quy berkata, bilangan kes HFMD meningkat berbanding November.
“Jabatan kami merawat lebih 100 pesakit luar dan 40 pesakit di wad setiap hari,” kata Dr Quy.
Beliau berkata, peningkatan kes teruk adalah tanda membimbangkan bagi musim wabak 2025.
Doktor menasihatkan ibu bapa supaya mengenal pasti tanda amaran awal untuk membawa anak mereka ke hospital kerana EV71 boleh menyebabkan komplikasi neurologi, pernafasan dan peredaran darah.
Menurut statistik Kementerian Kesihatan, sejak awal 2025 hingga kini, negara mencatatkan 78,460 kes HFMD, meningkat 15.6 peratus berbanding tempoh sama pada 2024, dengan satu kematian dilaporkan.
Ho Chi Minh City mencatatkan 35,440 kes HFMD sepanjang tempoh berkenaan.- AGENSI










