GLASGOW: Hospital terbesar di Scotland melancarkan siasatan selepas berlaku kesilapan yang menyebabkan mayat salah dibakar.
Kesilapan pihak hospital dalam menyerahkan mayat kepada pengurus pengebumian hanya disedari selepas upacara tersebut dan pembakaran mayat selesai dijalankan.
Kesilapan itu juga mengakibatkan waris lain dihalang daripada membawa pulang mayat keluarga mereka untuk upacara pengebumian.
Pihak pengurusan Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS) memohon maaf kepada dua keluarga terjejas akibat kesilapan yang berlaku di Hospital Universiti Queen Elizabeth di Glasgow.
NHS Greater Glasgow dan Clyde, yang mengendalikan hospital tersebut, berkata kejadian itu berlaku akibat kesilapan manusia selepas mengakui prosedur mengenal pasti dan melabelkan mayat sebelum dipindahkan dari bilik mayat tidak dipatuhi.
“Kami mempunyai prosedur yang sangat ketat untuk mengenal pasti dan melabelkan mayat dari waktu tiba di bilik mayat sehingga diserahkan kepada pengurus pengebumian.
“Amat dikesali apabila prosedur ini tidak dipatuhi, menyebabkan dua keluarga menanggung tekanan tambahan ketika saat sukar,” kata pengarah perubatan NHS Greater Glasgow dan Clyde, Dr Scott Davidson.
Siasatan penuh kini dilacarkan terhadap insiden yang dilaporkan berlaku bulan lalu, manakala kakitangan terlibat kini digantung tugas.
Hospital Universiti Queen Elizabeth kini menjadi subjek siasatan awam selepas berlakunya beberapa wabak jangkitan serta kebimbangan berkaitan sistem air dan pengudaraan, hanya tiga tahun selepas ia dibina pada 2015.
September lalu, Jane Grant, yang mengetuai lembaga pengarah antara 2017 dan 2025, berdepan pelbagai pertanyaan mengenai komunikasi antara pihak hospital, keluarga serta pesakit.- THE GUARDIAN










