HONG KONG: Hong Kong mungkin memperkenalkan larangan merokok di tapak pembinaan, susulan kebakaran maut di Tai Po pada 26 November lalu.
Industri hartanah Hong Kong menyokong cadangan larangan merokok di tapak pembinaan dan sedang mengumpul pandangan daripada pihak berkepentingan.
Kebakaran yang berlaku di Wang Fuk Court, Tai Po pada bulan lalu dan meragut sekurang-kurangnya 159 nyawa, menimbulkan kebimbangan awam mengenai amalan merokok di tapak pembinaan.
Penduduk Wang Fuk Court melaporkan semasa projek pengubahsuaian besar dijalankan, pekerja sering dilihat merokok di tapak pembinaan.
Sejak kebakaran itu, notis dipasang di tapak-tapak pembinaan memaklumkan kepada pekerja mengenai larangan membawa rokok ke kawasan tapak.
Menurut satu notis, sesiapa yang melanggar arahan boleh dikenakan denda sebanyak HK$5,000 (RM2,633), diusir serta-merta dari tapak, dan berpotensi disekat daripada bekerja dalam sektor pembinaan.
Pengerusi Persatuan Pemaju Hartanah, Stewart Leung Chi-kin berkata, beliau menyokong larangan merokok menyeluruh di tapak pembinaan, sambil menekankan kontraktor perlu bertanggungjawab terhadap isu tersebut.
Sekiranya persatuan mencapai kata sepakat, garis panduan akan dikeluarkan kepada semua pemaju, kata Leung.
Menurut jurucakap persatuan itu, pendapat ahli mengenai isu ini sedang dikumpulkan.
Jurucakap CK Asset Holdings berkata, perbuatan itu sentiasa dilarang di tapak pembinaannya, dan syarikat menyediakan kawasan khas untuk pekerja merokok.
Pekerja yang melanggar larangan merokok akan dipecat dan diusir dari tapak, kata jurucakap itu, sambil menambah kumpulan berkenaan telah memperketat penguatkuasaan peraturan baru-baru ini dan akan melaporkan pesalah kepada Majlis Industri Pembinaan.- AGENSI










