Gempa bumi 7 skala Richter gegar Taiwan

Gempa bumi 7 skala Richter gegar Taiwan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAIPEI: Gempa bumi berukuran 7 skala Richter menggegarkan kira-kira 32 kilometer (km) dari bandar pesisir timur laut Taiwan, Yilan, semalam.

Menurut pentadbiran cuaca Taiwan, gempa tersebut, dengan kedalaman 73 km, berlaku pada pukul 11.05 malam dan dirasai di seluruh utara Taiwan, termasuk ibu negara Taipei.

Pentadbiran cuaca menilai intensiti gempa pada kategori empat, menunjukkan kemungkinan berlaku kerosakan kecil.

Kerajaan bandar Taipei mengesahkan tiada kerosakan besar, walauoun beberapa kes terpencil dilaporkan, termasuk kebocoran gas dan air serta kerosakan pada bangunan.

Lebih 3,000 kediaman di Yilan mengalami gangguan sementara bekalan elektrik, menurut Taiwan Power Company.

Biro Bomba Daerah Yilan memaklumkan tiada laporan awal mengenai mangsa atau kerosakan.

Taiwan Railway juga menangguhkan empat perkhidmatan kereta api yang beroperasi di Yilan, menjejaskan lebih 270 penumpang.

Sementara itu, laluan metro Taipei beroperasi pada kelajuan terhad selama kira-kira 20 minit sehingga pihak berkuasa mengesahkan tiada sebarang masalah pada stesen atau landasan.

Syarikat pengeluar cip utama, TSMC, memaklumkan sejumlah kecil kemudahannya di Taman Sains Hsinchu Utara mencapai tahap pengosongan selepas gempa, namun kakitangan yang dipindahkan kembali ke tempat kerja.

Pentadbiran cuaca Taiwan menasihatkan orang ramai berwaspada terhadap gegaran susulan antara 5.5 hingga 6.0 skala Richter dalam tempoh sehari akan datang.

Mereka menambah kerosakan akibat gempa dijangka terhad kerana gegaran berlaku pada kedalaman yang agak dalam dan di luar pesisir.

Presiden Taiwan, Lai Ching-te berkata, pihak berkuasa mengawal keadaan dan turut menggesa rakyat supaya bersedia menghadapi gegaran susulan.

Gempa itu berlaku selepas gegaran berskala 6.1 melanda daerah pantai tenggara Taiwan, Taitung, pada 24 Disember.

Terletak berhampiran persimpangan dua plat tektonik, Taiwan memang rentan kepada gempa bumi.

Gempa berskala besar sebelum ini termasuk satu pada 2016 yang meragut lebih 100 nyawa di selatan Taiwan dan gempa berskala 7.3 pada 1999 yang mengorbankan lebih 2,000 orang.- AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN