DUBAI: Dua bulan selepas gencatan senjata dicapai di Gaza, krisis kemanusiaan di wilayah itu tidak pernah reda sebaliknya terus meruncing, dengan konvoi bantuan kemanusiaan masih tersadai di pintu sempadan dan kanak-kanak menjadi kelompok paling terkesan.
Penduduk terus dihimpit masalah kekurangan zat makanan dan penularan penyakit akibat sekatan terhadap bantuan dan serangan di lokasi penempatan sementara yang masih diteruskan oleh rejim Israel.
Sejak gencatan bermula, 347 rakyat Palestin terbunuh termasuk lebih 67 kanak-kanak, manakala 889 cedera, menjadikan angka kematian keseluruhan melebihi 70,000 orang menurut Kementerian Kesihatan Gaza.
Pejabat Media Gaza merekodkan 535 pelanggaran oleh Israel, serta kemusnahan lebih 1,500 bangunan berdasarkan imej satelit.
Dalam kenyataan minggu lalu, Amnesty International berkata, Israel terus melakukan jenayah genosid di Gaza dengan menyekat kemasukan bantuan serta menghalang pemulihan perkhidmatan asas.
Menurut Setiausaha Agung Amnesty, Agnes Callamard, gencatan senjata memberikan ‘ilusi berbahaya’ kononnya keadaan kembali normal, sedangkan kekurangan makanan, air dan tempat tinggal yang dicetuskan rejim Zionis boleh membawa kepada kematian secara perlahan.
Israel turut menghalang kemasukan peralatan untuk membaiki infrastruktur penting serta mengurus runtuhan, bahan tercemar dan sisa kumbahan yang menjejaskan kesihatan awam.
HOSPITAL TENGGELAM
Ribuan keluarga yang hilang tempat tinggal akibat konflik dua tahun pula kini bergelut menghadapi hujan lebat di pusat perlindungan yang penuh sesak, mengundang bahaya penyakit bawaan air dan jangkitan lain.
Hospital Patient’s Friends Benevolent Society (PFBS), pusat pediatrik utama di utara Gaza, melaporkan kekurangan kritikal bekalan ubat, peralatan perubatan, bahan pembersihan dan kelengkapan pensterilan.
Pada 14 November, hospital yang sudah rosak akibat pertempuran itu dibanjiri air hujan, menyebabkan puluhan kanak-kanak dan keluarga mereka terperangkap di tingkat bawah.
“Intervensi perubatan tidak mencukupi untuk menyelamatkan nyawa kanak-kanak. Ramai daripada mereka meninggal dunia di unit rawatan rapi,” kata Pengarah Perubatan hospital, Dr. Majd Awadallah.
Menurutnya, masalah itu tidak mampu diselesaikan tanpa pembukaan penuh semua lintasan sempadan dan kemasukan tanpa syarat bahan keperluan, khususnya ubat-ubatan.
“Bagaimana hospital boleh berfungsi tanpa bahan pembersihan?” soalnya.
MALNUTRISI KRONIK
Ribuan kanak-kanak yang dipindahkan turut kehilangan akses kepada rawatan asas dan vaksin, situasi yang boleh memberi kesan kesihatan jangka panjang sementara malnutrisi dan kelewatan rawatan turut meningkatkan risiko kematian.
Pertubuhan Medical Aid for Palestinians (MAP) berpangkalan di United Kingdom (UK) melaporkan peningkatan kes kekurangan zat makanan akut dalam kalangan kanak-kanak, dengan fasiliti kesihatan menghadapi kekurangan bekalan kritikal untuk merawat komplikasi selepas perang.
Jelasnya, kemasukan bekalan perubatan tidak meningkat secara signifikan sejak gencatan senjata bermula, menyebabkan sistem kesihatan yang lumpuh tidak mampu pulih.
Pada November, 575 kanak-kanak dikenal pasti mengalami malnutrisi akut, termasuk 128 dengan tahap teruk, daripada 7,930 kanak-kanak yang disaring. Di Gaza City, hampir 10 peratus kanak-kanak yang disaring mengalami malnutrisi.
“Malnutrisi boleh memberi kesan kekal seperti bantut, kelewatan perkembangan dan jangkitan berulang. Kami juga turut melihat kecacatan kelahiran disebabkan kekurangan zat dalam kalangan ibu serta ketiadaan makanan dan rawatan yang sepatutnya.
“Gencatan senjata sepatutnya membawa keadaan yang lebih daripada apa yang dilihat ini. Ia sepatutnya mengakhiri penderitaan rakyat Palestin dan mengembalikan maruah serta keselamatan mereka,” kata Pengarah Advokasi MAP, Rohan Talbot.
Tiga hospital terbesar Gaza di Al-Shifa, Nasser dan PFBS kekal sesak dengan pesakit cedera dan kekurang zat makanan. Kekurangan bekalan menyebabkan pembedahan tertangguh dan pesakit meninggal akibat lewat dirawat.
Menurut Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB), hanya 18 daripada 36 hospital Gaza beroperasi secara separa, manakala tiada satu pun berfungsi sepenuhnya.
Agensi PBB untuk Pelarian Palestin (UNRWA) pada Isnin berkata, Israel menghalang kira-kira 6,000 trak bantuan berisi makanan, ubat, khemah dan selimut yang cukup untuk menampung keperluan Gaza selama tiga bulan.
Agensi itu memberi amaran 1.5 juta penduduk memerlukan tempat perlindungan segera selepas hujan lebat menenggelamkan kem-kem pelarian pada November, memusnahkan lebih 13,000 khemah.
Di bawah gencatan senjata yang ditaja AS, sekurang-kurangnya 600 trak bantuan sepatutnya memasuki Gaza setiap hari namun, purata sebenar hanyalah sekitar 145 trak sehari sejak perjanjian bermula dengan lima peratus sahaja mengandungi bekalan kesihatan sementara keperluan asas untuk perlindungan dan khemah terus disekat pihak berkuasa Israel.
Walaupun bekalan makanan sedikit bertambah melalui trak bantuan dan komersial, kuantiti masih tidak mencukupi dan pilihan makanan sangat terhad. Harga makanan seperti daging, telur, sayur-sayuran dan buah-buahan pula melambung, menjadikannya tidak mampu dibeli kebanyakan keluarga.
Program Makanan Sedunia (WFP) melaporkan tahap pengambilan makanan kekal lebih rendah berbanding sebelum konflik, manakala MAP berkata, kekurangan makanan berkhasiat menjejaskan penyembuhan pesakit.










