Fokus beri kemudahan pada rakyat, bukan rebut siapa jadi MB - Rozabil - Utusan Malaysia

Fokus beri kemudahan pada rakyat, bukan rebut siapa jadi MB – Rozabil

ROZABIL ABD. RAHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Kerajaan Perikatan Nasional (PN) Perlis sepatutnya fokus memberi kemudahan dan meningkatkan infrastruktur kepada rakyat, bukan merebut jawatan Menteri Besar.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Rozabil Abd. Rahman berkata, sekarang bukan masa sesuai menukar Menteri Besar sebaliknya kerajaan negeri perlu memberi tumpuan kepada usaha menunaikan janji-janji manifesto Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) kepada rakyat.

Katanya, sebelum ini, Menteri Besar memaklumkan telah membawa masuk banyak pelaburan ke negeri ini dan biar rakyat menikmati hasil melalui peluang pekerjaan dan sebagainya.

“Apabila berlaku kemelut pertukaran dan perebutan jawatan Menteri Besar, bagaimana nak selesai janji-janji manifesto dan nilai-nilai pelaburan yang banyak dibawa masuk itu.

“Dalam belanjawan Perlis 2026 juga banyak telah dijanjikan dan tumpuan harus diberikan untuk menunaikan setiap apa dijanjikan itu bukan berebut siapa akan jadi Menteri Besar.

“Sudah tiga tahun berlalu, sepatutnya tumpuan kepada kemudahan asas, infrastruktur, peluang pekerjaan, pembangunan negeri bukannya politik berterusan yang akhirnya rakyat yang rugi,” katanya.

Kelmarin media melaporkan, lapan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PN Perlis didakwa telah bertemu Raja Perlis bagi menyerahkan akuan berkanun (SD) menyatakan penolakan sokongan terhadap Mohd. Shukri Ramli.

Mereka yang menyerahkan SD itu didakwa lima ADUN dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan tiga dari Pas.

Bersatu juga difahamkan telah mengemukakan tiga nama sebagai calon Menteri Besar manakala nama calon dari Pas masih belum.

Rozabil yang juga Ketua UMNO Bahagian Arau berkata, sebarang kemungkinan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) hanya bergantung kepada pekenan Raja Perlis dan UMNO tidak masuk campur.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN