Enam tukang sapu menang saman

Enam tukang sapu menang saman

NIK Saiful Adli Burhan  (kanan) berbincang dua anak guamnya selepas prosiding perbicaraan di Mahkamah Tinggi Kota Bharu, Kota Bharu, Kelantan hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Perjuangan enam tukang sapu, termasuk seorang orang kurang upaya (OKU), menuntut hak mereka akhirnya membuahkan hasil apabila Mahkamah Tinggi di sini hari ini mengekalkan keputusan pembayaran tunggakan gaji minimum berjumlah RM28,500 oleh sebuah syarikat pembersihan yang didapati mengelat daripada mematuhi undang-undang buruh.

Keputusan itu dibuat Hakim Shamsul Bahrin Abdul Manaf selepas menolak rayuan Monson Tropical Trading, syarikat yang gagal membayar gaji minimum RM1,500 kepada pekerjanya sepanjang tempoh Mei 2022 hingga Julai 2023 ketika mereka ditugaskan di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan (SUK).

Enam responden itu diketuai Zuhaida Daud, Mohamad Safuan Zakaria yang merupakan OKU lembam, Sharifah Mohamad, Mahani Daud, Mohd. Hafizi Mohd. Arshad dan Muhammad Nasharudin Samsudin.

Shamsul Bahrin menegaskan, perintah gaji minimum yang ditetapkan oleh kerajaan mengatasi persetujuan kontrak dan perjanjian sebelum ini yang sudah tidak sah.

“Perintah yang ditetapkan kerajaan sewajarnya memberi perlindungan maksimum kepada pekerja.

“Sehubungan itu, mahkamah memerintah pihak perayu membayar baki gaji sebanyak RM28,500 kepada enam pekerja mengikut perintah gaji minimum yang ditetapkan kerajaan,” katanya.

Keenam-enam responden diwakili peguam, Nik Saiful Adli Burhan manakala peguam, Muhammad Habil Zainal Abidin mewakili pihak perayu.

Sebelum ini, seramai 15 pengadu yang diketuai Zuhaida memfailkan tuntutan tunggakan gaji terhadap Monson Tropical Trading di Pejabat Tenaga Kerja Kota Bharu pada 15 Mei 2024.

Tuntutan melibatkan kesemua pengadu itu mendakwa mereka yang merupakan pekerja kepada defendan berjawatan tukang sapu dan ditugaskan di bangunan pejabat SUK.

Kesemua pengadu mendakwa gaji pokok terakhir adalah sebanyak RM1,200 sebulan dan hari terakhir mereka bekerja adalah pada 31 Julai 2023.

Bagaimanapun, hanya enam responden yang tampil memberi keterangan Pejabat Tenaga Kerja.

Ketua Pengarah Tenaga Kerja membenarkan tuntutan tunggakan gaji minimum sebanyak RM28,500 kepada semua pengadu pada akhir kes tersebut.

Monson Tropical Trading selaku perayu yang tidak berpuas hati terhadap keputusan Pejabat Tenaga Kerja telah merayu keputusan itu kepada Mahkamah Tinggi di sini. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN