Durian premium harga rendah diserbu pelanggan

Durian premium harga rendah diserbu pelanggan

RAFAAIL Ismail dan bersama isterinya menunjukkan durian premium yang dijual dengan harga rendah di Parit Haji Ismail 3 di Bagan Serai, Perak. – UTUSAN/WAT KAMAL ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAN SERAI: Sepasang suami isteri di sini menjual durian premium seperti Musang King, Duri Hitam dan beberapa varieti lain pada harga rendah sekali gus mendapat perhatian meluas.

Mereka mempromosikan jualan durian tersebut melalui media sosial sehingga menarik kunjungan luar biasa penggemar raja buah itu ke lokasi jualan di rumah mereka di Parit Haji Ismail 3 di sini.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, lokasi jualan ber­kenaan menerima pengunjung sejak pukul 3 petang hingga 8 malam setiap hari, dengan sambutan paling tinggi direkodkan pada hujung minggu.

Peniaga, Rafaail Ismail, 38, berkata, dia membuka jualan di tepi rumah sendiri dengan harga mampu beli terutamanya kepada golongan berpendapatan rendah namun mahukan durian premium.

“Harga durian yang dijual ditetapkan pada kadar mampu milik dan sebahagiannya lebih rendah daripada pasaran bagi membolehkan semua lapisan masyarakat, termasuk golo­ngan berpendapatan rendah, menikmati buah premium.

“Kami mahu semua orang rasa Musang King, Duri Hitam atau durian premium lain tanpa terbeban dengan harga,” katanya.

Selain itu juga, kualiti durian yang dijual turut diberi jaminan, termasuk penukaran buah sekiranya tidak elok atau tawar.

Langkah itu meningkatkan keyakinan pembeli, sekali gus menjadi antara faktor utama peningkatan kunjungan ke lokasi berkenaan.

Menurut Rafaail, selain durian, pengunjung turut disajikan dengan makanan ringan percuma untuk dinikmati jika makan durian di lokasi jualan.

Katanya, ini memberikan pengalaman lebih santai kepada pelanggan sambil mempromosikan kampungnya.

Seorang pengunjung, Muhammad Efendy Mohd Zuki, 39, dari Ipoh, berkata, perjalanan jauhnya untuk ke lokasi berbaloi kerana kualiti buah menepati jangkaan.

“Buah yang dijual segar, tangkalnya masih baharu. Memang puas hati. Bukan sahaja dapat beli durian premium dengan harga yang berpatutan malahan dapat menikmati suasana kampung yang tenang.

“Peniaga ini bijak, dia menyediakan tempat duduk makan yang selesa untuk pengunjung.

Ini menjadikan pengalaman membeli durian lebih lengkap dan mesra keluarga bagi mereka yang datang berkunjung bersama keluarga dan sahabat handai,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×