STOCKHOLM: Dua dilaporkan maut di Sweden ketika ribut Johannes melanda negara Nordik, termasuk Norway dan Finland menyebabkan ribuan penduduk terputus bekalan elektrik, menurut pihak berkuasa dan sebuah syarikat utiliti pada Sabtu.
Institut Meteorologi dan Hidrologi Sweden mengeluarkan amaran angin kencang bagi sebahagian besar kawasan di bahagian utara negara itu susulan ribut berkenaan.
Satu kematian melibatkan seorang lelaki berusia 50-an, dilaporkan berhampiran pusat peranginan ski Kungsberget di tengah Sweden selepas dihempap pokok tumbang, kata polis Gavleborg, Mats Lann kepada AFP.
Mangsa dibawa ke hospital sebelum meninggal dunia akibat kecederaannya.
Di kawasan utara, syarikat utiliti wilayah Hemab memaklumkan seorang kakitangannya turut maut dalam satu kemalangan di lapangan.
Penyiar SVT melaporkan, pekerja tersebut juga terperangkap di bawah pokok yang tumbang.
Penyiar awam Finland, Yle, melaporkan lebih 120,000 kediaman di Finland terputus bekalan elektrik, dengan bahagian barat negara itu paling teruk terjejas.
Agensi berita Sweden, TT, pula melaporkan lebih 40,000 rumah di Sweden mengalami gangguan bekalan elektrik.
Operasi trafik di Lapangan Terbang Kittila di utara Finland dihentikan selepas angin kencang menolak sebuah pesawat penumpang dan sebuah pesawat kecil keluar dari landasan dan ke longgokan salji, menurut media Finland. Bagaimanapun, tiada kecederaan dilaporkan. -AGENSI/AFP










