TOKYO: Sebuah sekolah di timur laut Jepun kini membangunkan sistem baharu menggunakan dron dan kecerdasan buatan (AI) untuk mengesan serta menjejaki beruang secara automatik, berikutan peningkatan insiden melibatkan haiwan itu.
Sistem yang dibangunkan oleh D-Academy Tohoku di Gojome, wilayah Akita, dilaporkan mampu mengesan beruang yang bersembunyi di kawasan pegunungan atau bandar, serta berkongsi lokasi mereka terus ke telefon pintar.
Sistem itu dijangka mula digunakan pada 2026, dan pihak berkuasa tempatan juga menunjukkan minat terhadap projek tersebut.
Dron berukuran 98 sentimeter (cm), 76 cm lebar dan 48 cm tinggi, akan dilengkapi kamera penglihatan malam serta kamera inframerah bagi mengukuh suhu, membolehkan operasi pengesanan lebih tepat, termasuk pada waktu malam.
Sebaik menerima laporan pengesanan, juruterbang akan melancarkan dron tersebut dan menerbangkannya di kawasan berkenaan sambil menghantar imej secara langsung.
Imej itu dianalisis menggunakan perisian AI yang dipasang pada komputer dan sekiranya beruang dikesan, dron beralih kepada penerbangan autonomi untuk menjejaki haiwan tersebut.
Data lokasi, yang diperoleh melalui Sistem Penentududukan Global (GPS), dikongsi secara masa nyata dengan kerajaan, pihak polis dan kelab pemburu melalui aplikasi telefon pintar khusus.- AGENSI









