ROM: Jenama fesyen global, Prada, mengumumkan rangkaian kasut edisi terhad yang diinspirasikan daripada sandal Kolhapuri buatan India, beberapa bulan selepas ia dikritik meniru rekaan tersebut.
Jenama mewah Itali itu akan mengeluarkan 2,000 pasang sandal di negeri Maharashtra dan Karnataka, India, melalui perjanjian dengan dua entiti yang disokong kerajaan, lapor agensi berita Reuters.
“Kami akan menggabungkan keupayaan standard pengeluar asal dengan teknik pembuatan kami,” kata Ketua Tanggungjawab Sosial Korporat Prada, Lorenzo Bertelli.
Koleksi tersebut dijadualkan mula dijual pada Februari 2026, secara dalam talian dan di 40 kedai Prada di seluruh dunia.
Sepasang sandal dilaporkan akan dijual dengan harga AS$939 (RM3,848), yang berjumlah sekitar 84,000 rupee.
Perjanjian itu ditandatangani pada Khamis semasa Forum Perniagaan Itali-India 2025.
Pada Jun, Prada mencetuskan kontroversi selepas ia mempamerkan sandal yang mempunyai corak tocang terbuka menyerupai sandal tradisional Kolhapuri yang dibuat di Maharashtra dan Karnataka.
Prada menyifatkan sandal itu sebagai ‘kasut kulit’ tetapi tidak menyebut asal usulnya dari India, mencetuskan reaksi balas dan dakwaan penyalahgunaan budaya di negara tersebut.
Jenama itu kemudiannya mengakui asal usul reka bentuk kasut itu dari India.- BBC










