BEIJING: China merancang untuk mengetatkan penggunaan kecerdasan buatan (AI) yang menyerupai manusia, dengan mewajibkan penyedia perkhidmatan memastikan sistem mereka beroperasi secara beretika, selamat dan telus.
Menurut kenyataan Pentadbiran Ruang Siber China (CAC), pengguna perlu dimaklumkan mereka sedang berinteraksi dengan AI ketika log masuk ke sesuatu perkhidmatan, serta pada selang masa setiap dua jam atau apabila tanda kebergantungan berlebihan dikesan.
Cadangan tersebut kini dibuka untuk rundingan awam sehingga 25 Januari depan.
CAC turut menetapkan sistem AI yang direka untuk bertindak seperti manusia perlu melaksanakan mekanisme keselamatan dan semakan etika, selain mematuhi ‘nilai teras sosialis’ dan mengelakkan penyebaran kandungan yang boleh menjejaskan keselamatan negara.
China sedang memajukan AI sebagai industri strategik dengan melabur secara besar-besaran dalam teknologi baharu bagi merangsang pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan daya saing global.
Pada masa sama, pihak berkuasa berhasrat mengekalkan kawal selia bagi memastikan keselamatan serta kestabilan sosial terus terpelihara.
Menurut draf cadangan tersebut, penyedia perkhidmatan diwajibkan menjalankan penilaian keselamatan dan mengemukakan laporan kepada pentadbiran siber peringkat wilayah sekiranya mereka melancarkan sebarang ciri AI menyerupai manusia.
Laporan sama juga perlu dikemukakan bagi perkhidmatan yang memperoleh sejuta pengguna berdaftar atau 100,000 pengguna aktif bulanan.- BLOOMBERG










