TAMPIN: Kewujudan Bilik Terapi Sensori Ronald McDonald (RMSR) di daerah ini bukan sahaja membantu kanak-kanak berkeperluan khas mengikuti intervensi awal malah memberi sinar baharu kepada ibu bapa yang selama ini berdepan pelbagai cabaran membesarkan anak istimewa mereka itu.
Bagi penerima manfaat, Nur Azimah Md Rosli, 30, diberitahu bahawa anak sulungnya, Naurah Sofea Nur Aliff Izzudin, 6, menghidap Sindrom Down ketika kandungan berusia 20 minggu merupakan detik paling mencabar dalam hidupnya.
Katanya, cabaran membesarkan anak istimewanya itu bertambah berat selepas Naurah Sofea turut disahkan menghidap Tibi Meningtis iaitu penyakit jangkitan kuman tibi di otak.
”Ketika doktor memberitahu tentang keadaan Naurah, saya rasa dunia gelap seketika. Saya dan suami sangat sedih kerana kami tidak mahu kehilangannya. Dia adalah anak paling istimewa buat kami.
”Naurah mempunyai imun sistem yang lemah serta dia juga ada masalah sukar untuk fokus dan memahami arahan. Jadi, doktor mengesyorkan kami untuk menjalani sesi terapi.
“Demi Naurah, kami keluarkan banyak kos untuk penjagaannya dan terapi. Rawatan kerajaan pula hanya sekali sebulan di Hospital Universiti Putra Malaysia (UPM) di Serdang, jadi ia agak membebankan daripada segi kos dan masa,” katanya.
Dia ditemui pada Program Lawatan Khas ke Bilik Terapi Sensori Ronald McDonald di restoran McDonald’s di sini baru-baru ini.

Nur Azimah berkata, kewujudan pusat terapi berhampiran kawasan tempat tinggalnya membantu meringankan beban kewangan sekali gus anaknya juga menunjukkan perubahan setelah menjalani perawatan di situ.
”Di sini, terapi dibuat empat kali sebulan dan semuanya percuma. Ahli terapinya juga bertauliah.
“Dulu dia tidak tahu apa itu bahaya dan memahami arahan, tetapi selepas menghantarnya menerima rawatan di sini, dia sudah boleh memahami arahan ringkas walaupun masih belum bercakap lagi,” katanya.
Seorang lagi penerima manfaat, Nurazlihafizah Ahmad Ali, 40, berkata, pengalaman membesarkan anaknya, Muhammad Firas Mohd Amzar, 8, yang menghidap autisme tahap pertengahan bukanlah sesuatu yang mudah.
Katanya, apatah lagi apabila kebanyakan pengasuh enggan mengambil tanggungjawab menjaga anak-anak sebegini.
”Anak saya memang susah hendak dikawal. Setiap kali saya hantar ke pengasuh, mereka akan menelefon dan menyuruh saya untuk membawanya pulang ke rumah. Saya juga terpaksa berhenti kerja kerana semua pengasuh tidak mahu menjaganya.
”Namun saya tidak pernah malu untuk membawanya keluar berjalan dan bermain. Di luar, apa yang orang hendak cakap, biarlah. Bagi saya, kata-kata mereka hanya menjadikan saya lebih kuat,” katanya.
Katanya, perubahan ketara dapat dilihat selepas anaknya mengikuti sesi terapi di RMSR, daripada seorang kanak-kanak yang sukar berinteraksi, kini anaknya mampu berhadapan dengan orang lain dan bergaul.
”Sebelum ini, Firas tidak suka berada di tempat orang ramai, dia suka duduk di rumah dan duduk di dalam bilik. Selepas menghantarnya ke sini, dia sudah mula bergaul dengan orang ramai.
“Kini, dia lebih aktif mengikuti pelbagai aktiviti harian yang disediakan di sini, termasuk sesi bermain interaktif dan terapi perkembangan sosial. Saya nampak perubahan yang besar sejak dihantar ke sini,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar Persatuan Kebajikan Ronald McDonald (RMHC Malaysia), Mohd. Nasri Mohd. Nordin berkata, inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan RMHC sejak tahun 1999 bagi menyediakan ruang yang kondusif untuk membantu anak-anak istimewa berkembang dengan sokongan keluarga dan komuniti.
”Melalui inisiatif bilik terapi sensori ini, RMHC Malaysia dapat membantu kanak-kanak keperluan khas menjalani sesi intervensi dengan peralatan khas yang jarang ditemui di pusat komuniti biasa atau klinik kerajaan.
“Kos untuk membangunkan satu bilik atau pusat terapi melebihi RM 100,000. Jadi dengan bilik ini, keluarga tidak perlu menanggung kos tinggi untuk mendapatkan terapi di luar sekali gus dapat menghantar anak secara berjadual,” katanya.
Beliau berkata Bilik Terapi Sensori Ronald McDonald di Tampin merupakan sebahagian daripada rangkaian 36 bilik terapi sensori yang telah ditubuhkan di seluruh negara termasuk di hospital, sekolah yang mempunyai Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI), pusat jagaan autism dan Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK).
”Bilik Terapi Sensori di Tampin merupakan kemudahan pertama seumpamanya yang diwujudkan di restoran rangkaian McDonald’s. Inisiatif ini juga hasil kolaborasi bersama Yayasan Jaafar Ahmad.
“Kewujudan bilik ini membolehkan anak-anak menjalani terapi lebih kerap berbanding klinik kerajaan yang terhad slotnya. Hal ini kerana, intervensi awal sangat penting untuk perkembangan mereka,” katanya.
Ujarnya, setakat ini seramai 4,500 anak-anak istimewa menjalani terapi secara berjadual di 36 buah bilik terapi sensori yang diwujudkan oleh RMHC di seluruh Malaysia.
Pakar Terapi Carakerja RMHC Malaysia, Muhammad Yusof Abdul Kadir pula berkata, bilik terapi bukan sekadar tempat rawatan, tetapi ruang holistik untuk perkembangan anak-anak istimewa.
Katanya, RMSR dilengkapi pelbagai peralatan seperti lampu interaktif, permainan sensori, muzik latar yang tenang serta bahan rangsangan visual yang membantu kanak-kanak menenangkan diri, meningkatkan tumpuan dan merangsang perkembangan deria dan motor kasar dan halus mereka.
”Di sini, kami jalankan aktiviti motorik, sensori dan sosial. Bilik ini juga membantu anak-anak ini memahami persekitaran, membina keyakinan dan membiasakan diri dengan interaksi sosial. Kami bukan sahaja menjalankan terapi di bilik ini, tetapi juga membimbing ibu bapa bagaimana meneruskan latihan di rumah,” katanya.-UTUSAN.










