PETALING JAYA: Krisis kemanusiaan di Gaza semakin kritikal apabila seorang bayi berusia 29 hari dilaporkan meninggal dunia akibat kesejukan melampau atau hipotermia.
Kedutaan Palestin memberitahu Utusan Malaysia, kematian bayi tersebut merupakan kes kedua direkodkan pada musim sejuk ini, sekali gus menjadikan angka korban keseluruhan rakyat Palestin kini meningkat kepada 70,925 orang.
Sebelum ini, seorang bayi berusia lapan bulan, Rahaf Abu Jazar juga ditemui tidak sedarkan diri akibat hipotermia oleh keluarganya di sebuah khemah pelarian di selatan Gaza.
Katanya, Agensi Bantuan dan Pekerjaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNRWA) melaporkan bahawa sekatan Israel menyebabkan khemah pelarian runtuh dan gagal melindungi penduduk daripada hujan lebat serta cuaca sejuk.
“Sektor kesihatan di wilayah itu juga lumpuh sepenuhnya dengan hanya 74 katil Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 215 katil jabatan kecemasan yang masih beroperasi ketika ini.
“Statistik menunjukkan lebih 1,000 pesakit meninggal dunia dalam tempoh beberapa bulan lalu ketika menunggu giliran untuk dipindahkan keluar bagi mendapatkan rawatan lanjut,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pengarah Dokumentasi Pelanggaran, Suruhanjaya Penentangan Tembok dan Penjajahan, Amir Dawod dalam satu kenyataan mengesahkan kejadian di kawasan Wadi Juhaysh, bandar al-Samou’ apabila kediaman milik
Mahmoud Al-Dghamin, 35, dipecah masuk secara paksa sebelum gas pemedih mata dilepaskan secara meluas ke dalam rumah tersebut.
Katanya, menurut sumber tempatan, para pendatang tersebut memecahkan pintu masuk dan tingkap rumah secara paksa dalam cubaan untuk memecah masuk dan menakut-nakutkan keluarga berkenaan.
“Penceroboh terbabit turut bertindak kejam menyembelih tiga ekor biri-biri dan memukul empat ekor lagi sehingga cedera parah dan berkemungkinan besar tidak dapat diselamatkan.
“Dalam usaha menyembunyikan jenayah mereka, kumpulan itu turut memusnahkan kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di kandang biri-biri.
“Ia adalah kamera sama yang pernah merakam serangan pendatang asing tersebut pada 27 Oktober lalu,” katanya.
Dalam pada itu, baru-baru ini, rancangan delegasi ahli Parlimen Kanada untuk bertemu pegawai Palestin gagal apabila mereka diusir ke Jordan selepas dilabel sebagai ‘ancaman keselamatan awam’.
“Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Kebangsaan Muslim Kanada (NCCM), Stephen Brown menyifatkan tindakan itu sebagai bukti corak berterusan Israel menyekat akses pemerhati bebas bagi menghalang penilaian situasi sebenar di wilayah yang diduduki,” katanya.
Kerajaan Palestin menegaskan bahawa kegagalan dunia untuk bertindak ke atas jenayah ini hanya akan menyebabkan lebih banyak nyawa terkorban akibat serangan ketenteraan dan kebuluran. – UTUSAN










