KOTA BHARU: Banjir gelombang pertama yang melanda negeri ini bermula 26 November lalu pulih sepenuhnya apabila semua pusat pemindahan sementara (PPS) ditutup secara rasmi hari ini.
PPS Sekolah Kebangsaan (SK) To’ Deh, Rantau Panjang dan SK Kedai Tanjong, Pasir Mas ditutup sepenuhnya pada pukul 3.30 petang tadi.
Sebelum itu, kedua-dua PPS itu menempatkan seramai 97 mangsa dari 35 keluarga.
Banjir gelombang pertama lalu, telah mengorbankan seramai dua nyawa.
Sementara itu Timbalan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) negeri Mohd. Farid Ishak menasihatkan penduduk di negeri ini supaya sentiasa waspada dengan amaran yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa kerana gelombang kedua boleh berlaku pada bila-bila masa sahaja.
“Jika air naik dengan cepat, segeralah bertindah ke PPS. Pastikan barangan penting disimpan tempat selamat dan tutup punca elektrik sebelum berpindah,” ujarnya.-UTUSAN










