GUA MUSANG: Angkatan Pertahanan Malaysia (APM) Daerah Gua Musang membantu seorang pesakit jantung obesiti dengan berat badan 285 kilogram (kg) yang mengalami sesak nafas untuk mendapatkan rawatan di hospital.
Lelaki berusia 31 tahun dari Chiku itu dihantar menggunakan lori lima tan milik APM ke Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP) untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Pegawai APM Daerah Gua Musang, Mohd. Hanafi Mohd. Bokri berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 4 petang bagi menghantar pesakit dari Klinik Kesihatan Chiku 1 ke HSIP.
“Difahamkan, lelaki itu mengalami sakit jantung dan sukar bernafas sehingga memerlukan bantuan APM untuk dihantar ke HSIP bagi menerima rawatan susulan.
“Empat anggota APM Gua Musang bersama lori lima tan tiba di HSIP kira-kira pukul 8.30 malam dengan jarak perjalanan kira-kira 50 kilometer. Seramai empat lagi anggota APM Kuala Krai membantu mengangkat lelaki itu semasa tiba di HSIP,” katanya.
Mohd. Hanafi memberitahu, pesakit selamat dihantar ke HSIP untuk rawatan lanjut dan anggota APM juga selamat tiba di APM Gua Musang selepas melaksanakan operasi terbabit.-UTUSAN










