KANGAR: Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang digesa memperincikan dakwaan beliau
bahawa isu ‘projek’ menjadi antara punca krisis politik di Perlis sehingga membawa kepada peletakan jawatan Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli.
Ketua UMNO Bahagian Kangar, Datuk Dr. Fathul Bari Mat Jahya berkata, kenyataan atau dakwaan seperti itu amat serius dan tidak boleh dibiarkan tergantung tanpa penjelasan yang jelas serta bertanggungjawab.
Katanya, Abdul Hadi mendakwa ada pihak mengejar jawatan, mahukan projek secara tidak mengikut peraturan dan elemen rasuah serta salah guna kuasa namun tidak dinyatakan secara jelas siapakah yang dimaksudkan.
“Maka ia secara langsung mengundang persepsi negatif yang meluas dan berbahaya. Dakwaan (Abdul Hadi) boleh mengundang persepsi yang tidak baik kepada pihak lain. Perincikan projek apa, kepada siapa diberikan rasuah atau sebagainya.
“Kenyataan yang bersifat umum sebegini boleh mencemarkan nama baik ADUN-ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) sedia ada tanpa bukti terbuka. Ia juga mengheret juga penjawat awam negeri ke dalam syak wasangka serta menimbulkan kecurigaan terhadap syarikat-syarikat swasta yang berurusan secara sah dengan kerajaan negeri.
“Yang paling membimbangkan, menghakis keyakinan rakyat terhadap institusi pentadbiran negeri Perlis,” katanya di sini hari ini.
Abdul Hadi sebelum itu mendakwa, isu melibatkan beberapa projek di Perlis antara punca krisis politik yang membawa kepada peletakan jawatan Mohd Shukri.
Bercakap pada satu sidang akhbar di Marang, Abdul Hadi dilaporkan berkata, banyak projek besar di negeri itu tidak mengikut peraturan.
“Projek banyak sangat. Projek tak ikut peraturan pula, salah. Di sebaliknya ada rasuah, di sebaliknya ada macam-macam. Dia (Shukri) tak boleh ikut. Saya tak perlu sebutlah siapa dia. Jadi bila kuat tekanan, kita terpaksa bertindaklah,” kata Abdul Hadi.
Bagaimanapun Abdul Hadi tidak menerangkan lebih lanjut projek besar yang dimaksudkannya.
Fathul Bari yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri berkata, jika tiada bukti kukuh dan keberanian untuk menyatakan secara jelas, maka kenyataan seperti ini tidak wajar dilemparkan ke ruang awam, kerana ia lebih membawa mudarat daripada maslahat.
“Perlis adalah negeri kecil dengan kestabilan politik, keharmonian pentadbiran dan keyakinan pelabur amat bergantung kepada tutur kata dan tindakan pemimpin.
“Kenyataan berbaur tuduhan tanpa penjelasan bukan sahaja melemahkan kerajaan sedia ada, malah menjejaskan imej negeri di mata rakyat dan pihak luar.-UTUSAN









