PASIR MAS: Seorang wanita yang sarat mengandung terkedu melihat suamiya ditembak sebanyak 18 das menggunakan pistol oleh dua lelaki yang dikenali di hadapan rumahnya di Kampung Bering, Sungai Golok, Thailand petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.40 petang waktu Thailand itu, mangsa Mohd. Fuad Fahmie Ghazali, 33, sedang memasang kamera televisyen tertutup (CCTV) di kawasan rumahnya sebelum dikejutkan dengan kehadiran dua lelaki tersebut.
Isteri mangsa, Wan Fatihah Mat Hussin, 35, berkata, dua lelaki yang datang dari arah belakang tersebut bertindak melepaskan tembakan ke arah suami menggunakan pistol masing-masing.
Katanya, tembakan tersebut menyebabkan Mohd. Fuad Fahmie rebah dan dia sempat memeluk suaminya itu.
“Kedua-dua lelaki itu terus melepaskan tembakan sehingga peluru dalam pistol masing-masing kehabisan.
“Selepas peluru tersebut habis kedua-dua suspek berjalan meninggal kawasan rumahnya tanpa rasa bersalah,” katanya ketika ditemui pemberita di Tanah Perkuburan Islam Kampung Apam di sini hari ini.

JENAZAH Mohd. Fuad Fahmie Ghazali tiba untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Apam, Pasir Mas, Kelantan hari ini-UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN.
Wan Fatihah memberitahu, kedua-dua suspek kemudian melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta.
Katanya, dia sempat menjerit sekuat hati untuk meminta bantuan selepas suaminya semakin lemah akibat terkena tembakan itu.
“Suaminya ditembak pada bahagian leher dan tubuh. Hasil pemeriksaan di Hospital Sungai Golok mendapati suami telah terkena 18 das tembakan,” ujarnya.
Sementara itu, ahli keluarga yang ingin dikenali sebagai Ahmad, 55, berkata, dua suspek dalam kejadian tersebut merupakan abang dan adik serta sepupu kepada wan Fatihah
Katanya, berkaitan kes berkenaan.
Terdahulu jenazah mangsa selamat dikebumikan pada pukul 2.30 petang di Tanah Perkuburan Islam Kampung Apam.
Utusan Malaysia semalam melaporkan, angkara hutang, seorang rakyat Malaysia parah ditembak dalam satu kejadian di sebuah rumah di Sungai Golok.
Kejadian kira-kira pukul 6.40 petang itu mengakibatkan Mohd. Fuad Fahmie Ghazali, 33, yang berasal dari Kampung Kepas Apam, Pasir Mas, Kelantan menerima rawatan di Hospital Sungai Golok.
Jurucakap polis Narathiwat ketika dihubungi berkata, siasatan awal mendapati kes tersebut berpunca daripada masalah hutang hasil temubual dengan beberapa saksi yang berada berhampiran lokasi.-UTUSAN










