UMNO Bentong tuntut kerusi DUN Sabai jika MIC keluar BN - Utusan Malaysia

UMNO Bentong tuntut kerusi DUN Sabai jika MIC keluar BN

MOHAMAD ZAINI SALLEH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BENTONG: UMNO Bahagian Bentong menegaskan akan menuntut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabai pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) sekiranya MIC mengambil keputusan meninggalkan Barisan Nasional (BN).

Pemangku Ketua UMNO Bahagian Bentong, Datuk Seri Mohamad Zaini Salleh berkata, tuntutan tersebut adalah wajar kerana jentera UMNO Bahagian itu bekerja keras memastikan kemenangan calon MIC pada PRU15 lalu.

Menurutnya, tindakan Pengerusi MIC Pahang, V. Arumugam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabai menyokong usul keluar BN dan menyertai Perikatan Nasional (PN) jelas tidak menghargai pengorbanan UMNO Bentong.

“UMNO Bentong berasa kesal kerana segala usaha dan tenaga yang dicurahkan untuk memenangkan calon MIC seolah-olah tidak dipedulikan. Malah, keputusan menyokong PN dilihat bercanggah dengan semangat setiakawan dalam BN,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mohamad Zaini menegaskan, kerusi Sabai bukan sekadar milik MIC semata-mata, sebaliknya kemenangan pada PRU15 adalah hasil kerjasama erat jentera UMNO dan BN di Bentong.

“Jika MIC keluar BN, maka kerusi itu sewajarnya dikembalikan kepada UMNO sebagai tanda keadilan politik. Kami tidak akan berdiam diri kerana pengundi Sabai juga sebahagian daripada tanggungjawab UMNO Bentong,” ujarnya.

Beliau turut menekankan bahawa UMNO Bentong sentiasa konsisten mempertahankan BN sebagai wadah perjuangan politik, justeru sebarang tindakan keluar daripada gabungan itu dianggap mengkhianati mandat rakyat.

Katanya, keputusan MIC Pahang menyokong usul keluar BN menimbulkan keresahan dalam kalangan ahli akar umbi yang selama ini setia berjuang di bawah panji BN.

“UMNO Bentong tidak menolak kemungkinan akan menggerakkan jentera lebih awal di Sabai sebagai persediaan menghadapi PRU16. Kami mahu pastikan kerusi itu kembali kepada UMNO,” jelasnya.

Ahad lalu, media melaporkan Perhimpunan Agung MIC ke-79 menangguhkan keputusan sama ada parti itu keluar atau kekal dalam BN selepas Timbalan Presiden, Datuk Seri M. Saravanan dilapor membentangkan tiga usul, termasuk cadangan untuk meninggalkan gabungan berkenaan dan membuat permohonan menyertai gabungan pembangkang.

Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran dipetik berkata, ketiga-tiga usul termasuk keluar daripada BN telah diterima dan diserahkan kepada pimpinan Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN