LONDON: Polis Britain menahan semula seorang lelaki Algeria yang tersilap dibebaskan dari penjara minggu lalu, ketika kerajaan Perdana Menteri, Keir Starmer, terus dikritik berikutan beberapa kes pembebasan banduan secara tidak sengaja sejak kebelakangan ini.
Polis Metropolitan dalam kenyataan pada Jumaat memaklumkan, pihaknya menahan semula Brahim Kaddour Cherif yang dibebaskan secara tidak sengaja sebelum ini.
Cherif, 24, dilaporkan tersilap dibebaskan dari sebuah penjara di London pada 29 Oktober lalu, sebelum ditahan semula di ibu negara.
Insiden itu menambah tekanan terhadap kerajaan Starmer yang sebelum ini dikecam kerana beberapa kali melakukan kesilapan sama, termasuk banduan Billy Smith, yang menyerah diri kepada polis pada Khamis lalu.
Timbalan Perdana Menteri yang juga Setiausaha Kehakiman Britain, David Lammy, berdepan soalan daripada ahli Parlimen minggu ini berhubung kesilapan pembebasan Cherif, yang merupakan pesalah seks berdaftar.
Lammy menyifatkan kesilapan itu sebagai tidak boleh diterima, dengan menyalahkan pemotongan dana sebelum ini sebagai punca kelemahan sistem dan mengumumkan langkah untuk memperketat semakan keselamatan di penjara.
Insiden itu berlaku hanya sebulan selepas seorang pelarian Ethiopia, Hadush Kebatu, yang disabitkan kesalahan serangan seksual terhadap remaja perempuan, turut dibebaskan secara tidak sengaja sebelum ditangkap semula 48 jam kemudian.
Kerajaan Britain kemudian menghantar pulang Kebatu dengan bayaran 500 pound (RM2,750) untuk meninggalkan negara itu, selain melancarkan siasatan bebas berhubung pembebasan tidak sengaja tersebut.
Data rasmi menunjukkan 262 banduan tersilap dibebaskan antara Mac 2024 dan Mac 2025, meningkat lebih dua kali ganda berbanding 115 kes dalam tempoh 21 bulan sebelumnya.- AFP










