JOHOR BAHRU: Tuduhan dilemparkan bahawa minyak sawit Malaysia tidak sesuai digunakan sebagai stok suapan (feedstock) bahan api penerbangan mampan (SAF) adalah tidak tepat dan telah diperbesarkan.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, minyak masak terpakai (UCO) sebenarnya menjadi sumber utama bagi SAF dan mendapat kedudukan premium di pasaran Eropah kerana ciri kitar semula serta impak karbonnya yang jauh lebih rendah.
“Tiada isu persepsi negatif. Pasaran Eropah mengiktiraf UCO sebagai bahan mentah berkualiti tinggi. Tambahan pula, Malaysia ada Pensijilan MSPO (Minyak Sawit Mampan Malaysia) yang menjamin penghasilan sawit secara lestari,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke loji biopenapisan SAF pertama negara, EcoCeres Renewable Fuels Sdn. Bhd. di Pelabuhan Tanjung Langsat, Pasir Gudang, di sini hari ini.
Sebelum ini, laporan media antarabangsa mendakwa pembeli Eropah was-was terhadap minyak sawit sebagai stok suapan SAF kerana isu penebangan hutan.
Mengulas lanjut, Johari erkata, sebagai pengeluar minyak sawit kedua terbesar dunia, Malaysia bukan sahaja mempunyai bekalan bahan mentah yang mantap malah kini melangkah lebih progresif dalam pembangunan biofuel rendah karbon.
Jelasnya, inisiatif SAF juga adalah sebahagian strategi besar negara untuk mengurangkan pelepasan gas rumah kaca dan memperkukuh ekosistem tenaga hijau.
Kata beliau, pengeluaran SAF dalam negara akan membuka jalan kepada Malaysia muncul sebagai peneraju pengeluaran SAF di rantau ASEAN, selain menyumbang kepada pembangunan produk hiliran bernilai tinggi berasaskan agrokomoditi.
Sementara itu, katanya, pengoperasian loji mega EcoCeres Renewable Fuels yang baru memulakan pengeluaran bulan lalu, mempunyai kapasiti berlesen 350,000 metrik tan setahun.
Ia sekali gus mengangkat Malaysia sebagai pemain baharu yang agresif dalam pasaran biofuel global
Dalam perkembangan berkaitan, Johari berkata, kementeriannya sedang bekerjasama rapat dengan Kementerian Pengangkutan untuk memperkenalkan mandat adunan SAF satu peratus bagi penerbangan antarabangsa yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).-UTUSAN.










