WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mahu Ukraine menerima pelan damai yang ditaja Washington bagi menamatkan perang dengan Russia selewat-lewatnya pada 27 November ini.
Kenyataan itu dibuat pada Jumaat susulan pentadbirannya menyerahkan pelan damai mengandungi 28 perkara kepada Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky, yang mengakui Kyiv kini berdepan tekanan besar dan pilihan yang amat sukar, antara mempertahankan maruah negara atau berisiko kehilangan rakan strategik utama.
“Saya pernah menetapkan banyak tarikh akhir, namun jika proses berjalan lancar, kita boleh pertimbangkan lanjutan. Tetapi Khamis ini adalah masa yang dirasakan sesuai,” kata Trump dalam temu bual bersama Fox News Radio.
Pelan yang disokong Washington itu dilaporkan merangkumi beberapa tuntutan utama Presiden Russia, Vladimir Putin, termasuklah menghentikan usaha Ukraine menyertai NATO, menyerahkan sebahagian wilayah tertentu serta mengurangkan kekuatan tenteranya.
Dalam satu ucapan video kepada rakyat semalam, Zelensky berkata, beliau akan memulakan rundingan dengan AS.
“Kita tidak membuat kenyataan lantang. Kita akan bekerja dengan tenang bersama Amerika Syarikat (AS) dan semua rakan kongsi,” katanya.
Tambah Zelensky, beliau mengadakan perbualan telefon bersama dengan Naib Presiden AS, J.D. Vance, bagi membincangkan butiran pelan damai tersebut.
Menurutnya, kedua-dua pihak bersetuju bekerjasama dengan negara-negara Eropah di peringkat penasihat keselamatan negara bagi memastikan laluan ke arah perdamaian benar-benar boleh dicapai.
“Ukraine sentiasa menghormati dan terus menghormati hasrat Presiden Donald Trump untuk menamatkan pertumpahan darah, dan kami melihat setiap cadangan yang realistik secara positif,” katanya di media sosial.- AGENSI










