Trauma perang Gaza boleh diwarisi generasi belum lahir

Trauma perang Gaza boleh diwarisi generasi belum lahir

AHLI keluarga meratapi pemergian dua kanak-kanak yang terbunuh dalam serangan Israel pada Oktober lalu di Hospital Nasser, Khan Younis, di selatan Gaza.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUBAI: Dua tahun selepas Gaza dibedil Israel, kerosakan fizikal dan mental yang dialami penduduk Palestin dijangka mengambil masa berdekad untuk kembali pulih.

Kajian baharu menunjukkan parut konflik tersebut mungkin memberi kesan kepada generasi yang belum lahir, dengan kesan trauma membentuk DNA penduduk Gaza itu sendiri dan meninggalkan jejak genetik pada rakyat Palestin.

Menurut kertas kajian pasukan penyelidik antarabangsa bertajuk ‘Epigenetic signatures of intergenerational exposure to violence in three generations of Syrian refugees’, trauma boleh mengubah genom manusia, sekali gus menjejaskan cara tubuh menyesuaikan diri dengan persekitaran.

“Kita biasanya tahu tanda epigenetik akan dipadamkan pada setiap generasi.

“Namun, apa yang kami dapati ialah 14 tapak dalam genom yang berubah akibat pendedahan nenek kepada keganasan telah diwarisi oleh cucunya, meskipun mereka tidak pernah terdedah kepada keganasan,” kata pakar genetik dan biologi molekul di Universiti Hashemite Jordan, Prof. Rana Dajani, kepada Arab News.

Beliau yang juga terlibat dalam kajian tersebut berkata, walaupun generasi baharu tidak lagi mengalami konflik, ‘tanda’ keganasan itu masih boleh kekal dalam kod genetik mereka dan mempengaruhi cara tubuh bertindak balas terhadap persekitaran.

“Ini bermakna generasi baharu kepada mangsa yang pernah mengalami konflik mungkin mengalami kerentanan sama seperti mereka yang terus-menerus menderita akibat trauma.

“Kami mendapati wanita yang terdedah secara langsung kepada keganasan, 21 kawasan dalam genom mereka mengalami perubahan epigenetik,” katanya.

Dajani berkata, keputusan tersebut membantunya memahami dengan lebih jelas kesan pembunuhan beramai-ramai di Gaza.

Perang Israel di Gaza pada Oktober 2023, meragut lebih 67,000 nyawa rakyat Palestin dan menyebabkan kemusnahan besar-besaran ke atas wilayah itu.

Sementara itu, seorang lagi penyelidik kajian, Prof. Connie Mulligan berkata, penemuan tersebut penting untuk membentuk semula perbincangan mengenai pemulihan dan rehabilitasi, serta menjadi permulaan pemahaman baharu mengenai kesan trauma.

Walaupun kajian menumpukan pada tekanan psikologi, beliau percaya tekanan fizikal juga berpotensi memberi impak.

“Terdedah kepada toksin persekitaran akan memberi kesan serupa tetapi berbeza pada individu termasuk tanda epigenetik, berbanding tekanan psikososial,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN