MELAKA: Tiga penjenayah bersenjatakan parang yang dipercayai anggota Geng DT mati ditembak selepas menetak seorang anggota polis yang menjalankan tugas pemeriksaan dalam operasi di ladang sawit berhampiran Taman Tambun Perdana, Durian Tunggal, awal pagi tadi.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, kejadian kira-kira pukul 4.50 pagi itu ketika sepasukan anggota Bahagian Siasatan Khas (D9) Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka bersama Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis (IPD) Alor Gajah melancarkan Op Casa Melaka.
Katanya, ketika operasi dijalankan, pihaknya terserempak tiga lelaki dalam keadaan mencurigakan sebelum memperkenalkan diri sebagai polis.
“Suspek bertindak ganas dan berlaku pergelutan. Mereka melibas parang panjang ke arah pasukan sehingga mencederakan seorang koperal di bahagian lengan kiri.
“Bagi mempertahankan diri, kerana serangan itu boleh mengakibatkan kematian atau kecederaan parah, anggota polis terpaksa melepaskan tembakan ke arah semua suspek,” katanya pada sidang akhbar di IPK Melaka, Bukit Beruang, di sini, hari ini.
Tambahnya, pemeriksaan taktikal ke atas lokasi kejadian mendapati ketiga-tiga lelaki itu mengalami kecederaan akibat terkena tembakan sebelum bantuan kereta peronda polis (MPV) dan ambulans dipanggil ke lokasi.
Menurut Dzulkhairi, dua daripada suspek merupakan warga tempatan berusia 24 dan 29 tahun, manakala seorang lagi masih belum dikenal pasti identitinya.
“Siasatan mendapati suspek berusia 29 tahun mempunyai 39 rekod jenayah dan dadah serta dikehendaki polis, manakala seorang lagi memiliki 12 rekod lampau.
“Kumpulan ini sangat agresif dan dipercayai terbabit dalam 20 kes samun di Melaka, satu kes di Selangor dan dua di Negeri Sembilan sejak 2024, dengan nilai kerugian keseluruhan RM1.35 juta,” katanya.
Katanya, antara barang dirampas di lokasi termasuk tiga bilah parang, tiga topeng muka, sarung tangan, beg hitam dan pemotong besi yang digunakan untuk memecah masuk premis.
Dzulkhairi menambah, modus operandi kumpulan adalah menyasarkan rumah kediaman, kilang, pecah rumah dan curi kenderaan dengan bersenjatakan parang serta batang besi.
Katanya, penjenayah terbabit akan merosakkan dekoder televisyen litar tertutup (CCTV), memakai topeng serta sarung tangan dan bergerak secara berjalan kaki ke lokasi sasaran untuk elak dikesan polis. Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.-UTUSAN.










