PETALING JAYA: Thailand dan Kemboja menegaskan semula komitmen untuk mematuhi Perjanjian Damai Kuala Lumpur.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kedua-dua negara menyatakan komitmen untuk memastikan pelaksanaan penuh secara berkesan perjanjian berkenaan.
Beliau berkata, kesepakatan kedua-dua negara dicapai menerusi perbualan telefon antara Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump; Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet dan Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul.
“Kami juga bersetuju supaya kemajuan bermakna perlu dicapai dalam isu menyahaktif periuk api, tanpa membabitkan sebarang bentuk kerjasama perdagangan.
“Saya juga menghargai komitmen peribadi dan pembabitkan aktif berterusan Trump bagi menyelesaikan perkara ini,” katanya dalam kenyataan.
Sebelum ini, Thailand mengumumkan penggantungan pelaksanaan perjanjian damai dengan Kemboja selepas satu letupan periuk api mencederakan dua anggota tenteranya berhampiran sempadan.
Perjanjian itu yang dipantau oleh Trump bertujuan mengakhiri konflik sempadan yang tercetus pada Julai lalu dan mengorbankan sekurang-kurangnya 43 orang serta menyebabkan lebih 300,000 penduduk di kedua-dua negara terpaksa berpindah. – UTUSAN









