Tanah runtuh ragut enam nyawa di Vietnam

Tanah runtuh ragut enam nyawa di Vietnam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HANOI: Tanah runtuh yang tercetus akibat hujan lebat di Vietnam mengorbankan sekurang-kurangnya enam nyawa dan mencederakan lebih 12 yang lain, menurut pihak berkuasa bencana hari ini.

Kejadian berlaku ketika kawasan tengah negara yang dilanda banjir itu mengalami hujan berterusan.

Sebuah bas penumpang ditimbus tanah runtuh dan batu yang jatuh di Khanh Le Pass di wilayah Khanh Hoa, lewat Ahad, yang mengorbankan lima orang dan mencederakan 18 penumpang lain.

Bas itu membawa 32 penumpang, dengan beberapa mangsa cedera kini dirawat di hospital tempatan.

Sebelum kejadian, tanah runtuh turut dilaporkan berlaku di tempat perlindungan pekerja di Khanh Son Pass di Khanh Hoa, meragut satu nyawa dan menyebabkan seorang lagi hilang.

Setakat tahun ini, bencana alam menyebabkan 279 orang maut atau hilang, selain mengakibatkan kerugian melebihi AS$2 bilion (RM8.2 bilion), menurut pejabat statistik kebangsaan Vietnam.

Negara Asia Tenggara itu terdedah kepada hujan lebat antara Jun dan September, tetapi pakar menegaskan perubahan iklim yang didorong manusia semakin menjadikan cuaca ekstrem lebih kerap serta berbahaya.- AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN