Tanah runtuh, pokok tumbang di Seremban, Port Dickson

Tanah runtuh, pokok tumbang di Seremban, Port Dickson

ANGGOTA bomba membuat pemantauan susulan kejadian tanah runtuh yang berlaku di Taman Bukit Berlian, Seremban pagi tadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Beberapa insiden tanah runtuh dan pokok tumbang dilaporkan berlaku di negeri ini khususnya di daerah Port Dickson dan Seremban susulan hujan lebat berterusan sejak malam tadi rentetan ribut tropika Senyar yang melanda.

Di Seremban, kejadian tanah runtuh berlaku di Taman Bukit Berlian di sini yang melibatkan dua buah rumah terjejas.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Ampangan, Pegawai Bomba Kanan II, Mohd. Norazrul Fazri Ahmad berkata, pasukannya tiba di lokasi pada pukul 4.07 pagi dan mendapati tanah runtuh berlaku di bahagian belakang dua buah rumah.

“Setibanya di lokasi, pasukan kami telah mengarahkan semua penghuni untuk mengosongkan rumah sebagai langkah keselamatan.

“Semua enam mangsa telah keluar dari kediaman masing-masing dan tiada kecederaan dilaporkan. Kawasan tersebut masih dalam pemantauan rapi pasukan bomba,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, satu kejadian pokok tumbang dilaporkan berlaku berhampiran sebuah pusat beli-belah di Seremban
kira-kira pukul 3 pagi tadi yang menyebabkan seorang lelaki penunggang motosikal cedera.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Seremban 2, Pegawai Bomba Kanan II, Mohd. Sharizal Boahari berkata, mangsa berusia 61 tahun cedera selepas motosikal yang ditungganginya melanggar pokok tumbang.

“Ketika kejadian, mangsa dipercayai gagal mengelak sebelum melanggar pokok tersebut. Mangsa kemudian dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar untuk rawatan lanjut.” katanya.

Dalam kejadian berasingan di Port Dickson, sebuah kereta dilaporkan dihempap pokok tumbang berhampiran sebuah hotel di sini sekitar pukul 3.14 pagi.

Bagaimanapun menurut pihak bomba, tiada mangsa yang berada di dalam kenderaan berkenaan.

Sementara itu beberapa kawasan di negeri ini dilaporkan sudah dinaiki air termasuk di pekan Linggi, Port Dickson.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN