Taiwan edar buku panduan hadapi kecemasan, serangan China

Taiwan edar buku panduan hadapi kecemasan, serangan China

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAIPEI: Taiwan akan mula mengedarkan berjuta-juta buku panduan pertahanan awam kepada isi rumah di seluruh pulau minggu ini, sebagai persediaan menghadapi kecemasan termasuk kemungkinan serangan China.

Buku panduan yang diumumkan pada September itu, merangkumi arahan jika rakyat berdepan tentera musuh dan menegaskan sebarang dakwaan penyerahan Taiwan harus dianggap palsu.

Ia turut memberi panduan mencari tempat perlindungan bom dan menyediakan kit kecemasan.

Usaha tersebut merupakan langkah terbaharu Taiwan untuk mempersiapkan rakyatnya menghadapi pelbagai krisis, daripada bencana semula jadi hingga ancaman pencerobohan, ketika Beijing meningkatkan tekanan ketenteraan serta politik terhadap pulau itu.

“Buku panduan ini menunjukkan tekad kami untuk mempertahankan diri.

“Kita mahu rakyat di seberang Selat Taiwan faham sebarang keputusan salah oleh China akan menelan kos besar, kerana rakyat Taiwan bertekad dan komited mempertahankan diri serta bersedia bertindak untuk melindungi satu sama lain,” kata Timbalan Setiausaha Agung Majlis Keselamatan Negara Taiwan, Lin Fei-fan, yang mengetuai usaha tersebut.

Lin berkata, pengedaran buku tersebut kepada lebih 9.8 juta peti surat di seluruh pulau akan bermula minggu ini, manakala versi dalam bahasa Inggeris dan bahasa asing lain akan diedarkan tidak lama lagi.

Beliau berkata, selepas pengedaran selesai, kerajaan akan membantu rakyat menyediakan kit kecemasan peribadi melalui kempen promosi, namun tidak memberikan butiran lanjut.

China mendakwa Taiwan, yang diperintah secara demokratik, sebagai wilayahnya dan tidak menolak kemungkinan menggunakan kekerasan untuk menguasai pulau itu.

Kerajaan Taiwan menolak tuntutan wilayah China, dengan menegaskan hanya rakyat Taiwan yang berhak menentukan masa depan mereka.

Buku panduan itu turut memuatkan senario yang mungkin dihadapi Taiwan, termasuk sabotaj kabel bawah laut, serangan siber, pemeriksaan kapal Taiwan oleh negara musuh sebagai persiapan konflik, dan kemungkinan pencerobohan penuh.- AGENSI

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN