Sudan mahu bantuan Malaysia pulih keamanan

Sudan mohon bantuan Malaysia pulih keamanan

HASSAN ABDELSALAM OMER
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sudan berharap Malaysia dapat memainkan peranan dalam membantu memulihkan keamanan dan menamatkan kekejaman militan Rapid Support Forces (RSF) di negara itu.

Duta Besar Republik Sudan ke Malaysia, Hassan Abdelsalam Omer berkata, pihaknya menaruh keyakinan penuh terhadap Malaysia sebagai negara Islam berpengaruh dan bebas daripada sebarang agenda, sekali gus menjadikannya calon terbaik untuk memainkan peranan dalam menyokong keamanan serta pemulihan Sudan.

Menurut Hassan, Sudan juga melihat Malaysia sebagai rakan strategik dalam proses pembinaan semula negara sebaik sahaja keadaan kembali aman dan stabil.

“Seperti yang semua sedia maklum, Sudan amat mempercayai Malaysia. Saya ingin merakamkan penghargaan dan pujian terhadap kenyataan dikeluarkan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hassan, atas pendirian mereka yang jelas dan berprinsip dalam mengecam tindakan RSF.

“Saya juga amat terharu dengan sokongan meluas yang dirasai dalam beberapa hari kebelakangan ini daripada rakyat dan pertubuhan akar umbi di Malaysia,” katanya dalam sidang akhbar di Kedutaan Sudan di sini hari ini.

Tentera Sudan dan RSF terbabit dalam peperangan sejak 15 April 2023.

Sebelum ini, media antarabangsa melaporkan 460 orang terbunuh di sebuah hospital di Al-Fashir, selepas bandar itu jatuh ke tangan RSF.

Hassan berkata, konflik di negara itu bukan hanya pertikaian dalaman, sebaliknya konspirasi besar melibatkan pelbagai pihak asing yang mempunyai agenda untuk melemahkan Sudan.

“Terdapat banyak bukti dokumentasi mengenai jentera dan pihak luar yang terlibat khususnya dari Columbia yang memberikan sokongan teknikal selain beberapa negara lain.

“Oleh itu, kami mengharapkan lebih banyak tindakan daripada OIC dan negara Islam lain untuk membantu menghentikan keganasan serta membawa keamanan yang sebenar kepada Sudan,” katanya.

Dalam pada itu, Hassan turut merakamkan penghargaan kepada Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) atas kenyataan yang mengecam kekejaman dilakukan oleh RSF di Al-Fashir dan seluruh Sudan.

Bagaimanapun, beliau berharap OIC dan negara Islam lain dapat memainkan peranan lebih aktif dalam menghentikan keganasan dan mengembalikkan keamanan di Sudan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN