KUALA LUMPUR: Suasana di sebuah pusat spa dan kesihatan di Jalan Raja Laut di sini bertukar kecoh malam semalam apabila digempur pihak berkuasa dan menahan seramai 201 lelaki kerana terlibat dalam aktiviti hubungan songsang.
Penahanan kesemua lelaki berusia antara 19 hingga 60 tahun dibuat dalam operasi mengejut sekitar pukul 8 malam membabitkan Polis Kontinjen Kuala Lumpur, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi).
Difahamkan, daripada 201 yang ditahan, 17 daripada mereka merupakan penjawat awam membabitkan doktor, timbalan pendakwa raya, pegawai tadbir diplomatik, guru dan pegawai agensi penguatkuasaan.
Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohd. Azani Omar berkata, risikan dan pemantauan ke atas premis dua tingkat ini telah dijalankan sejak dua minggu lalu berdasarkan maklumat awam.
“Hasil risikan mendapati, wujud aktivitI tidak bermoral di lokasi ini membabitkan golongan lelaki yang dipercayai menjalankan hubungan sejenis atau songsang.
“Premis yang berselindung di sebalik aktiviti pusat kesihatan yang dilengkapi gimnasium, sauna, spa, kolam mandi dan ‘ruang rehat’ bagi golongan lelaki ini dilaporkan beroperasi sejak lapan bulan lalu.
“Setiap pelanggan dikenakan bayaran pendaftaran seumur hidup sebanyak RM10 dan bayaran sebanyak RM35 untuk setiap kali mengunjungi premis ini,” katanya di lokasi serbuan.
Mengulas lanjut, katanya, premis ini mempromosikan pusat kesihatan mereka melalui media sosial dan pelanggan akan berkenalan dengan pelanggan lain di premis.
Mohd. Azani berkata, pada masa ini polis masih menjalankan siasatan lanjut mengikut Seksyen 387B Kanun Keseksaan atas kesalahan melakukan seks luar tabii.
Katanya, selain warga tempatan, pihak polis turut menahan pelanggan warga Korea Selatan, Indonesia, Jerman dan China.
“Dalam operasi sama juga, seramai 80 lelaki beragama Islam turut ditahan di bawah Seksyen 29, Akta 559 Kesalahan Syariah, kerana berkelakuan tidak sopan di tempat awam.
“Premis ini menjalankan operasinya setiap hari bermula pukul 5 petang hingga lewat malam dan menyasarkan pelanggan yang ingin beristirehat selepas habis bekerja pada waktu pejabat,” jelasnya.
Kesemua yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi untuk tindakan lanjut.
Berdasarkan semakan, premis ini menjadi topik bualan dalam kalangan golongan lelaki yang dipercayai ingin mencari kenalan sebelum merancang bertemu di pusat kesihatan berkenaan. – UTUSAN










