KOTA BHARU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan mematahkan cubaan pengedaran pil kuda, erimin 5 termasuk ekstasi bernilai RM1.5 juta yang disumbat di dalam bagasi dan tong selepas memeriksa sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) yang ditinggalkan di parkir sebuah kondominium di Balakong, Selangor pada bulan lalu.
Serbuan terhadap MPV jenis Toyota Estima itu dijalankan menerusi operasi yang dijalankan bermula 14 hingga 16 Oktober lalu.
Pengarahnya Wan Jamal Abdul Salam Wan Long berkata, pihaknya membuat intipan selama lapan jam sebelum melakukan pemeriksaan terhadap kenderaan tersebut.
Menurutnya, siasatan mendapati, MPV itu merupakan sebuah kenderaan yang tidak berkastam.
“Pemeriksaan di dalam kenderaan tersebut membawa kepada penemuan bagasi dan tong berisi pelbagai jenis pil khayal pil kuda, erimin 5 termasuk ekstasi.
“Sindiket itu dipercayai menggunakan kenderaan yang tidak berkastam sebagai tempat penyimpanan pelbagai jenis dadah,” katanya pada sidang media di Pejabat Penguat Kuasa JKDM Kota Bharu di sini hari ini.
Wan Jamal Abdul Salam memberitahu, empat kenderaan jenis Porsche Panamera bernilai RM100,000, Nissan Teana (RM15,000), Toyota Estima (RM80,000) dan sebuah motosikal jenis honda CB400 (RM15,000) dengan cukai berjumlah RM395,910 turut dirampas.
Katanya, pihak kastam juga sedang mengesan pemilik kenderaan terbabit untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.-UTUSAN










