Simpang Rimba Permai, Cyberjaya jadi ‘simpang maut’

Simpang Rimba Permai, Cyberjaya jadi ‘simpang maut’

KETIADAAN lampu isyarat di persimpangan utama Persiaran Bestari-Persiaran Rimba Permai, Cyberjaya menyebabkan kawasan tersebut sesak dan berbahaya kepada pengguna jalan raya. – UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CYBERJAYA: Ketiadaan lampu isyarat di persimpangan antara tiga laluan utama di Rimba Permai di sini menjadikan ia seperti ‘simpang maut’ apabila hampir setiap minggu berlaku kemalangan.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, keadaan di persimpangan utama Persiaran Bes­tari-Persiaran Rimba Permai yang menjadi laluan utama untuk kira-kira 2,000 penduduk dari kawasan MasRecca, Sejati Lakeside dan Setia Safiro, semakin berbahaya terutama pada waktu puncak.

Namun begitu, sehingga kini masih tiada tindakan diambil untuk meletakkan lampu isyarat mahupun pemantauan daripada pihak berkuasa.

Penasihat Persatuan Penduduk Sejati Lakeside, K. Gunalan berkata, peningkatan penduduk di kawasan sekitar menjadikan simpang itu sema­kin sesak selepas projek pembinaan baharu dibuka berdekatan.

“Pada waktu puncak, pen­du­duk Sejati Lakeside mengambil ma­sa 15 hingga 20 minit un­tuk keluar ke jalan utama yang jaraknya tidak sampai lima minit.

“Sekarang pula, ada pembinaan sekolah dan lot kedai yang menjadikan simpang ini semakin sesak dan bahaya, terutamanya waktu puncak, kerana keluar masuk lori dan treler pembinaan,” katanya ketika ditemui, di sini baru-baru ini.

Menurut Gunalan, situa­si trafik yang tidak terkawal di simpang itu menyebabkan ramai pemandu mengambil tindakan berisiko seperti membelok secara terburu-buru serta menggunakan laluan yang sepatutnya ditutup.

“Kebanyakan pemandu me­man­du laju dan membelok secara tergesa-gesa kerana mahu mengelakkan kesesakan. Tetapi tindakan itu sebenarnya menambah risiko kemalangan, terutama apabila kenderaan dari tiga arah masuk serentak.

“Banyak juga penunggang motosikal menggunakan jalan yang ditutup sebagai laluan pintas untuk masuk ke kawa­san perumahan,” katanya.

Katanya, penduduk telah mengemukakan aduan dan surat rayuan kepada pihak berkuasa tempatan, namun tiada perkembangan mengenai pemasangan lampu isyarat atau pelan jangka pendek bagi mengurangkan risiko di kawasan itu.

“Kami dimaklumkan bahawa lampu isyarat atau pembinaan bulatan akan dilakukan menjelang 2024, tetapi kini hampir masuk 2026. Tiga tahun menunggu, tetapi masalah masih tidak selesai.

“Kami tidak minta projek besar. Lampu isyarat dan sedikit penstrukturan semula aliran trafik sudah memadai mengurangkan bahaya kepada pengguna jalan raya,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN