Siasatan Covid-19 kritik kegagalan kerajaan UK tangani pandemik

Siasatan Covid-19 kritik kegagalan kerajaan UK tangani pandemik

AHLI keluarga mangsa yang meninggal dunia akibat pandemik berkumpul di luar bangunan Siasatan Covid-19 UK di barat London, ketika bekas Perdana Menteri Britain, Boris Johnson memberikan keterangan pada 7 Disember 2023.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Sekurang-kurangnya 23,000 kematian di England boleh dicegah jika perintah sekatan pergerakan pertama dilaksanakan lebih awal ketika pandemik Covid-19 bermula.

Laporan kedua siasatan awam mengenai tindak balas United Kingdom (UK) terhadap pandemik, mengkritik kerajaan pimpinan Boris Johnson pada 2020 kerana gagal bertindak segera, dengan menyifatkan perintah berkurung ketika itu dibuat terlalu lewat.

Menurut laporan setebal 800 halaman itu, pemodelan menunjukkan pelaksanaan perintah berkurung lebih awal berpotensi mengelakkan 23,000 kematian di England dalam gelombang pertama.

“Jika perintah berkurung dikuatkuasakan seminggu lebih awal daripada 23 Mac, bukti menunjukkan jumlah kematian sehingga 1 Julai 2020 di England dapat dikurangkan sebanyak 48 peratus,” kata pengerusi siasatan, Heather Hallett.

Hallett berkata, jika sekatan diperkenalkan lebih awal, tempoh perintah berkurung mandatori juga boleh menjadi singkat atau mungkin tidak diperlukan sama sekali.

Bagaimanapun, laporan bahagian kedua daripada siri siasatan bebas itu menolak dakwaan kerajaan tersilap apabila melaksanakan perintah berkurung pada Mac 2020.

“Tanpanya, peningkatan penularan akan menyebabkan kehilangan nyawa yang tidak dapat diterima,” kata laporan itu.

UK mencatatkan angka korban Covid-19 terburuk di Eropah, dengan lebih 128,500 kematian direkodkan sehingga pertengahan Julai 2021.

Sejak awal pandemik global pada 2020, lebih 226,000 orang meninggal dunia akibat Covid-19 di Britain.

Johnson, yang menjadi Perdana Menteri dari 2019 hingga 2022, turut dikritik atas pelbagai kelemahan dalam tindak balas pandemik, termasuk kekurangan persediaan serta kegagalan menyediakan peralatan perlindungan mencukupi untuk petugas barisan hadapan.

Dalam sesi pendengaran siasatan bulan lalu, Johnson menegaskan kesal dengan kesan keputusan yang diambil oleh kerajaannya terhadap kanak-kanak, terutama penutupan sekolah yang disifatkan sebagai ‘mimpi ngeri’.

Laporan siasatan pertama yang diterbitkan pada Julai 2024, mendapati menteri dan pegawai UK tidak bersedia sepenuhnya menghadapi pandemik global.- AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN