Sejauh mana keberkesanan syarikat SG4 agihkan hasil?

Sejauh mana keberkesanan syarikat SG4 agihkan hasil?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Penubuhan syarikat SG4 bertujuan berkongsi kekayaan dan mengagihkan hasil kepada Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis sudah lebih setahun namun adakah ia telah mencapai objektif diharapkan.

Menerusi syarikat itu, setiap negeri di bawah pentadbiran Perikatan Nasional (PN) memiliki 25 peratus saham syarikat berkenaan yang antara lain bagi bagi memastikan negeri yang ketinggalan jauh seperti Perlis juga mendapat hasil sama.

Menjadi persoalan, dalam tempoh lebih setahun ini, sejauh mana keberkesanan penubuhan syarikat tersebut khususnya berkaitan hasil daripada nadir bumi (REE) yang menjadi antara perkara diberi tumpuan.

Utusan Malaysia mengajukan persoalan tersebut kepada Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli yang secara ringkas memaklumkan bahawa negeri tersebut belum mendapat hasil.

Bagaimanapun katanya, per­kembangan syarikat tersebut berjalan lancar khususnya daripada aspek REE di negeri-negeri terlibat.

“Di Perlis, kita akan lihat sama ada mempunyai REE atau potensi mengenainya,” katanya.

Potensi REE khususnya di Terengganu, Kelantan dan Kedah yang mewakili kira-kira 70 peratus sumber berkenaan jika dimanfaat sebaik mungkin mampu memberi hasil yang lumayan kepada negeri-negeri di bawah kerajaan PN itu.

Bagaimanapun, disebalik Ma­­laysia mempunyai sumber REE yang banyak, tetapi usaha melombongnya berhadapan de­ngan laluan sukar disebabkan sebahagian besar bahan galian itu berada di kawasan hutan simpan kekal (HSK).

Oleh itu, negeri-negeri di bawah SG4 perlu mencari kaedah dan mengambil peluang potensi REE itu sekali gus mencapai objektif penubuhan syarikat SG4 itu .

Turut menjadi persoalan setakat ini, sejauh mana negeri-negeri itu sudah melaksanakan kajian terperinci dan membangunkan pelan strategik pengurusan REE yang diselaraskan bersama.

Di Perlis, sektor perlombo­ngan dan pengkuarian dolomite antaranya mempunyai potensi besar dalam membawa pulangan hasil kepada negeri ini. Sektor itu dianggarkan mampu menjana pulangan bernilai lebih RM19.2 bilion buat negeri ini sekiranya diteroka secara serius.

Dolomite boleh diibarat seperti emas putih Perlis yang sangat berharga memandangkan batu sedimen tersebut hanya terdapat di negeri ini, namun masih belum ada perkembangan sejauh mana sumber itu dimanfaatkan.

Dalam pada itu, pemerhati politik dari Universiti Malaysia Perlis (Unimap), Muhammad Izmer Yusof berkata, penubuhan SG4 dilihat sangat baik sebagai pemangkin pembangunan bersama ekonomi empat negeri tersebut.

Bagaimanapun katanya, sepanjang tempoh setahun ini, tidak banyak pencapaian dapat digariskan sekali gus sukar meyakinkan rakyat terhadap keberkesanan penububan SG4 itu.

“SG4 perlu membentangkan polisi bersama atau pelan tindakan yang dibuat supaya rakyat boleh melihat dan menilai mengenainya.

“Lima kluster yang digariskan dalam SG4 tersebut iaitu infra logistik, perdagangan dan pelaburan, pertanian, pendidikan serta sumber mentah boleh digunakan sebagai penanda aras. Daripada lima kluster itu, kita ukur yang mana sudah ada pencapaian,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN