SEREMBAN: Sikap tidak bertanggungjawab segelintir pengguna jalan raya yang membuang sampah merata-rata telah mencemarkan satu kawasan lapang Jalan Seremban-Kuala Pilah berhampiran sebuah stesen minyak di sini.
Tinjauan mendapati kawasan yang menjadi lokasi persinggahan pengguna jalan raya untuk berhenti seketika sebelum meneruskan perjalanan itu dipenuhi plastik makanan dan minuman.
Selain itu, ketiadaan tong sampah di sekitar kawasan tersebut juga dipercayai antara punca sampah bertaburan.
Seorang pengguna jalan raya, Norman Mohd. Zain, 56, berkata, masalah itu berlaku disebabkan sikap segelintir masyarakat yang tidak peka dan tiada kesedaran sivik terhadap kebersihan kawasan awam.
“Kalau ikutkan, isu sampah ini ada dimana-mana disebabkan sikap segelintir masyarakat kita sendiri yang tidak ambil berat tentang kebersihan.
“Ada antaranya tidak boleh ditegur. Sebab itu mereka tanpa rasa bersalah sesuka hari membuang sampah merata-rata,” katanya ketika ditemui semalam.
Sementara itu, seorang juruteknik, Amir Arman, 25, turut berpandangan sama selain mencadangkan, isu tersebut diselesaikan dengan meletakkan tong sampah berhampiran lokasi berkenaan.
“Saya juga berharap Majlis Bandaraya Seremban (MBS) menjalankan pemantauan serta meletakkan papan amaran larangan membuang sampah dan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) bagi memastikan keadaan kawasan ini sentiasa bersih.
“Jika masalah ini tidak diatasi segera, ia boleh mencacatkan pemandangan sekali gus mencemarkan imej pelancongan Negeri Sembilan,” katanya.
Sementara itu, salah seorang pekerja restoran makanan segera berhampiran memaklumkan, pihaknya mengambil inisiatif dengan melakukan pembersihan lebih kerap namun masalah tersebut masih berulang terutama pada hujung minggu.-UTUSAN.

								
											








