SINGAPURA: Seorang bekas tukang masak tadika dijatuhi hukuman penjara lebih sembilan tahun hari ini, selepas didapati bersalah mencabul tiga kanak-kanak semasa waktu tidur tengah hari.
Teo Guan Huat, 61, warga Malaysia yang juga penduduk tetap Singapura, sebelum ini mengaku bersalah terhadap tiga pertubuhan mencabul kanak-kanak bawah umur.
Lima lagi pertuduhan turut diambil kira bagi tujuan hukuman.
Secara keseluruhan, Guan Huat dijatuhi hukuman penjara selama sembilan tahun, empat bulan dan tujuh minggu.
Hukuman itu termasuk tambahan sembilan bulan penjara sebagai ganti sebatan kerana dia berusia lebih 50 tahun.
Hakim Daerah, Vince Gui berkata, tindakan Guan Huat amat menjijikkan dan merupakan pengkhianatan terhadap kepercayaan yang diberikan ibu bapa untuk tadika berkenaan.
“Dia sengaja menyasarkan tiga kanak-kanak yang tidak berdaya dan tidak mampu mempertahankan diri,” kata hakim.
Hakim turut mengambil kira serangan seksual yang berlaku, termasuk insiden Guan Huat mencabul mangsa pertama sekurang-kurangnya sembilan kali dalam tempoh kira-kira 25 minit.
Nama taska itu tidak boleh didedahkan kerana perintah larangan bagi melindungi identiti mangsa, yang berusia antara satu hingga dua tahun ketika kejadian berlaku.
Mahkamah diberitahu, tertuduh diambil bekerja sebagai tukang masak, namun turut ditugaskan menghantar kanak-kanak kepada guru lain untuk mandi.
Dia juga membantu menjaga mereka semasa waktu tidur dengan mengatur tilam dan menidurkan kanak-kanak di bilik tidur.
Perbuatannya terbongkar secara tidak sengaja pada November 2023 apabila seorang pekerja, yang tidak dinamakan dalam dokumen mahkamah, meneliti rakaman litar tertutup (CCTV) untuk isu lain.
Rakaman itu menunjukkan tertuduh memasukkan tangannya ke dalam lampin seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun.
Dia meletakkan jawatan pada 23 November 2023, namun laporan polis hanya dibuat pada awal Disember selepas sistem CCTV sekolah diformat semula, menyebabkan rakaman terdahulu dipadam.- AGENSI










