PETALING JAYA: Pelaksanaan Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) serentak dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Johor dan Sarawak dijangka akan meningkatkan peratusan keluar mengundi yang dilihat sangat suram pada beberapa siri Pilihan Raya Kecil (PRK) sebelum ini.
Bekas Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar berkata, pelaksanaan PRU16 secara serentak akan memberi satu kesan positif kerana rakyat ghairah untuk keluar mengundi.
Katanya, pilihan raya secara serentak juga diibaratkan seperti ‘musim perayaan’ yang menimbulkan rasa ghairah kepada rakyat termasuklah yang berada di luar negara.
“Mereka akan keluar mengundi untuk menggunakan kuasa bagi membuat perubahan atau berpeluang memilih muka baharu bagi menggantikan orang lama sebagai wakil rakyat mereka.
“Berbanding PRK, rakyat kurang berminat untuk keluar mengundi kerana pilihan raya kecil tidak memberi mereka ruang untuk menukar kerajaan, sebab itu peratusan keluar mengundi di semua PRK adalah sangat rendah berbanding PRU serentak,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau berkata, berdasarkan pengalamannya bersama SPR, peratusan keluar pengundi pada PRU menunjukkan jumlah sangat konsisten iaitu melebihi 75 peratus di peringkat Parlimen manakala lebih 80 peratus di peringkat negeri.
Pada masa sama, beliau berkata, pelaksanaan PRU secara serentak juga dapat menjimatkan kos kerajaan mencecah jutaan ringgit dan tenaga kerja petugas pilihan raya namun Parlimen perlu dibubarkan sebelum November 2026.
Katanya, pembubaran Parlimen lebih awal bagi tujuan pilihan raya mengejut adalah perkara biasa di bawah sistem demokrasi ala Westminster seperti diamalkan di Malaysia.
Bahkan menurutnya, berdasarkan rekod, PRU15 juga diadakan sembilan bulan lebih awal dari tarikh tamat penggal Parlimen.
“Pilihan raya serentak ini terbaik dari segi penjimatan kos dan tenaga. SPR dan polis termasuk semua agensi kerajaan yang membantu hanya perlu kerja sekali sahaja berbanding jika ia dibuat secara berasingan.
“Mengadakan pilihan raya melibatkan belanja sangat besar, jika dibuat berulang kali tentunya perbelanjaan kerajaan akan bertambah berlipat ganda. Anggaran kasar jika PRU16 diadakan serentak seluruh negara amat menjimatkan kewangan negara.
“Pada masa sama, berdasarkan Perlembagaan juga tidak menghalang pembubaran Parlimen lebih awal iaitu selepas tiga tahun daripada penggal Parlimen,” katanya.
Kelmarin, DAP mencadangkan supaya PRU16 diadakan serentak dengan PRN Melaka, Sarawak dan Johor kerana langkah itu menjimatkan kos dan memudahkan gerak kerja pilihan raya.
Selain itu, Setiausaha Agungnya, Anthony Loke Siew Fook berkata, langkah itu lebih baik kerana pilihan raya khususnya bagi Sarawak, memerlukan perbelanjaan tinggi.
“Sudah tentu keputusan penting ini perlu dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Saya akan berikan pandangan parti dan kami cenderung ia diadakan serentak,” katanya. – UTUSAN










