PRN Sabah: SPR tolak undi pos

PRN Sabah: SPR tolak undi pos

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menolak cadangan untuk memperluas kemudahan undi pos dalam Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) Sabah pada 29 November ini.

Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun berkata, setiap pengundi perlu mengundi di tempat yang didaftarkan dan masih mengekalkan ketetapan tiada undian pos buat rakyat Sabah di Semenanjung.

“Sehingga kini, SPR masih kekal dengan ketetapan bahawa pengundi hendaklah mengundi di mana mereka didaftarkan walaupun pihaknya menerima banyak rayuan agar kemudahan undi pos itu dilak­sanakan untuk kemudahan rak­yat Sabah yang berada di Semenanjung,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Ramlan berkata, permohonan untuk memperluas skim undi pos kepada golongan tertentu termasuk pengundi yang merantau ke Semenanjung belum dipertimbangkan kerana ia memerlukan kajian holistik serta pindaan prosedur pilihan raya yang melibatkan pelbagai pihak.

Katanya, kemudahan undi pos kekal terhad kepada petugas pilihan raya dan pegawai perkhidmatan awam yang bertugas pada hari pengundian.

“Kemudahan mengundi secara pos hanya diberikan kepada petugas pilihan raya dan mereka yang bertugas di agensi kerajaan tertentu seperti Kementerian Kesihatan, Jabatan Imigresen, Jabatan Pendafta­ran Negara di UTC, Jabatan Penjara, Bomba, APM, Maritim, MKN dan TNB,” katanya.

Pada 23 Oktober lalu, Kira-kira 200,000 pengundi Sabah yang kini berada di Semenanjung Malaysia berisiko tidak dapat menunaikan tanggungjawab me­ngundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17 akan datang sekiranya sistem undi pos tidak dilaksanakan segera.

Perkara itu disuarakan oleh Suara Mahasiswa Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang menyatakan kebimbangan ter­hadap laporan SEEN Sabah mengenai isu berkenaan.

Katanya, jumlah hampir 200,000 pengundi tersebut mewakili sekitar 12.6 peratus daripada keseluruhan 1.7 juta pe­ngundi berdaftar di Sabah iaitu merupakan angka yang disifatkan cukup besar untuk mempengaruhi corak politik negeri.

“Ketidakmampuan rakyat Sa­­bah untuk mengundi bukan sekadar isu logistik, tetapi isu hak asasi dan demokrasi,” katanya.

Sementara itu, Ramlan ber­kata, SPR menggesa pengundi agar mengemaskini maklumat tempat tinggal terkini bagi membolehkan mereka mengundi di kawasan yang sama dengan domisil semasa.

“Pengundi mestilah bertanggungjawab memastikan maklumat alamat dan kawasan undi sentiasa terkini bagi mengelakkan kesukaran pada hari pengundian, khususnya menjelang PRN akan datang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN