KOTA BHARU: Seorang penoreh getah mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu hari ini atas pertuduhan menetak anak saudara angkatnya dengan sebilah parang hingga menyebabkan kecederaan parah dalam kejadian di Pasir Puteh minggu lalu.
Tertuduh, Noradin Ibrahim, 54, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulkifli Abdullah.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja telah menyebabkan cedera parah terhadap Ahmad Firhan Hadi Hamzah, 44, dengan menggunakan sebilah parang.
Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Kampung Kulim, Pasir Puteh dekat sini kira-kira pukul 6 petang pada 28 Oktober lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman yang penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebat jika disabitkan kesalahan.
Mengikut fakta kes, tertuduh menetak mangsa dengan menggunakan sebilah parang sehingga lelaki itu mengalami kecederaan pada bahagian depan dan belakang kepala.
Selain itu, doktor juga mengesahkan dua jari tangan kanan mangsa putus dan perlu dibuang untuk mengelakkan jangkitan kuman.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nursyafiqah Mohamad manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu, Nursyafiqah tidak mencadangkan jaminan berikutan tertuduh merupakan bapa saudara angkat dan tinggal bersama nenek mangsa.
Mahkamah kemudian tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 3 Disember depan untuk sebutan semula kes dan prosiding jatuh hukum.
Utusan Malaysia 29 Oktober lalu melaporkan, akibat dendam lama, seorang lelaki parah ditetak dengan parang oleh bapa saudara angkatnya di Kampung Kulim, di sini, petang semalam.
Kejadian pukul 6.30 petang itu menyebabkan mangsa berusia 44 tahun cedera parah di bahagian lengan hingga bahu kanan dan sebahagian badan selepas ditetak dengan senjata tajam oleh suspek.
Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Superintenden Zaizul Rizal Zakaria berkata, siasatan awal mendapati, semasa kejadian suspek berusia 55 tahun masuk ke dalam rumah dan menetak mangsa beberapa kali.-UTUSAN

								
											






