Penduduk nikmati manfaat perkongsian ilmu, teknologi dalam Kampung Angkat Madani

Penduduk nikmati manfaat perkongsian ilmu, teknologi dalam Kampung Angkat Madani

Kampung Angkat Madani
AZLIKAMIL Napiah melakukan sendiri demonstrasi penggunaan mesin proses padi menjadi beras dekat Kampung Parit 4, Sungai Besar, di Sabak Bernam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SABAK BERNAM: Bawa teknologi ke desa dan memberi nilai tambah kepada aktiviti pertanian penduduk, demikian antara manfaat jangka panjang yang dinikmati komuniti Kampung Parit 4, Sungai Besar di sini menerusi program Kampung Angkat Madani oleh Agensi Angkasa Malaysia (MYSA).

Ketua Pengarah MYSA, Datuk Azlikamil Napiah berkata, pelaksanaan inisiatif itu bermula awal tahun ini selepas mandat diberikan oleh kerajaan untuk setiap jabatan  melaksanakan projek Kampung Angkat Madani dan Sekolah Angkat Madani sebagai usaha memperkasa komuniti setempat melalui pembangunan infrastruktur, ekonomi dan pendidikan.

“Pemilihan Kampung Parit 4 dibuat berdasarkan kriteria kampung yang memerlukan penambahbaikan infrastruktur asas, mempunyai potensi ekonomi, serta mampu memberi impak langsung kepada kesejahteraan penduduk.

“Di sini, kami laksanakan pelbagai usaha termasuk baik pulih kemudahan asas, membangunkan sumber ekonomi baharu dan memperkenalkan elemen teknologi,” katanya ketika ditemui pada majlis penutupnya, hari ini

Menurut beliau, antara inisiatif utama yang diperkenalkan termasuk penggunaan teknologi dron dalam sektor pertanian bagi membantu pesawah menjimatkan masa dan kos pengurusan sawah, selain memperkenalkan projek ternakan ikan keli dan tanaman herba yang berupaya menambah pendapatan penduduk sehingga 30 peratus.

“Penduduk di sini menunjukkan komitmen yang tinggi. Dalam tempoh tiga bulan pertama, mereka berjaya menghasilkan ternakan ikan keli yang habis terjual kerana permintaan tinggi.

“Kini mereka memperluas ternakan kepada ikan talapia dan keli hibrid, manakala projek taman herba pula bakal menjadi sumber ekonomi baharu kampung ini,” jelasnya.

Azlikamil turut menekankan peranan generasi muda dalam memastikan kelestarian jangka panjang program tersebut, dengan penyertaan pelajar di bawah Sekolah Angkat Madani MYSA di SMK Sabak Bernam yang diperkenalkan dengan teknologi angkasa, termasuk aplikasi STEM dan penggunaan dron.

“Yang paling menggembirakan saya ialah minat tinggi generasi muda terhadap bidang sains dan teknologi. Kita mahu mereka lihat teknologi bukan sekadar alat, tetapi masa depan mereka.

“Sebab itu kita bawa pendedahan ini terus ke sekolah supaya mereka faham potensi kerjaya dan tanggungjawab membina negara,” ujarnya.

Beliau berkata, sasaran MYSA melalui program Kampung Angkat Madani ialah meningkatkan kemajuan infrastruktur kampung antara 20 hingga 30 peratus, memperkukuh jalinan sosial dan budaya gotong-royong serta memastikan pembangunan ekonomi dan teknologi desa kekal berterusan.

“Yang penting, nilai (value) yang kita bina mesti berterusan, bukan hanya ROI atau pulangan kewangan, tetapi kesan kepada komuniti, ilmu dan semangat kerjasama yang terus hidup,” tambahnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN