KUALA LUMPUR: Penduduk di Blok C, Pangsapuri Kos Rendah Taman United, Seputeh, di sini mendakwa berlaku pergerakan tanah membabitkan sebuah rumah di atas bukit yang didapati semakin menghampiri kediaman mereka sejak beberapa hari lalu.
Penduduk, Pek Ah Ho, 67, yang tinggal di tingkat dua blok berkenaan berkata, kedudukan rumah tersebut berubah sedikit demi sedikit setiap kali hujan turun.
“Saya menetap di sini lebih 50 tahun. Apabila musim hujan tiba, rumah di atas bukit itu perlahan-lahan bergerak ke bawah menunjukkan memang ada pergerakan tanah.
“Sebelum musim monsun tiba, saya tengok rumah di atas bukit tersebut masih jauh ke dalam. Namun, hari berikutnya sudah dekat dengan rumah kami,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia semalam.
Dia yang tinggal bersama suaminya berkata, dia mula berasa takut selepas pulang dari makan luar kelmarin dan mendapati berlaku tanah runtuh berhampiran.
“Saya bersama penduduk di sini sudah buat laporan kepada pihak berkuasa tempatan sejak nampak rumah itu bergerak,” katanya.
Menurutnya, dia kini menumpang di rumah adiknya yang terletak berhampiran sementara menunggu situasi kembali selamat.
Tinjauan Utusan Malaysia semalam pula mendapati kerja-kerja menstabilkan dinding penahan sedang dijalankan oleh kontraktor Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi mengelakkan hakisan susulan.
Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) pula memaklumkan akan menjalankan penilaian geoteknikal bagi menentukan punca pergerakan tanah dan kaedah pemulihan yang diperlukan susulan kejadian runtuhan cerun berdekatan blok perumahan berkenaan.
Pengarah JMG Wilayah Persekutuan dan Selangor, Rusli Mohamed berkata, runtuhan itu berpunca dari dinding penahan di kaki cerun gagal menahan tekanan sisi tanah selepas berlaku pengumpulan air ketika hujan lebat.
Sementara itu, kesemua penghuni di 52 unit kediaman di blok berkenaan yang diarahkan berpindah telah mengosongkan kediaman masing-masing.-UTUSAN.










